Ahad, Ogos 31, 2008
Rabu, Ogos 27, 2008
Kemenangan Anwar: Apa kata Umno?
"(Lompat parti) Tidak, ahli BN tidak meninggalkan BN begitu saja. Jika ada masalah dalam BN, baik kita selesaikan dalam parti dan tidak sampai peringkat untuk meninggalkan parti.""Keputusan semalam hanya membabitkan satu pilihan raya kecil seperti pilihan raya kecil lain sebelum ini. Kita tidak boleh membuat tafsiran keputusan itu akan berlaku di kawasan parlimen lain di seluruh negara."
"Keputusan itu juga bukan satu perkara yang boleh melemahkan BN kerana kita tidak kehilangan 20 atau 30 kerusi, jika itu berlaku ia memang membimbangkan kita dalam BN."
Najib Abdul Razak
"Secara umum, jentera pilihan raya BN berjalan amat baik, tetapi satu kajian perlu dilakukan bagi mencari kelemahan dan faktor kenapa BN gagal menawan kerusi ini.""Kita jangkakan dapat kurangkan majoriti Anwar, tapi nampaknya faktor sentimen masih kuat di Permatang Pauh kerana ini kubu kuatnya."
"Keputusan pilihan raya kecil itu mencerminkan amalan demokrasi yang segar di negara ini dan jelas menunjukkan tiada unsur manipulasi."
Muhyiddin Yassin
"Saya kira kita (BN) perlu mengambil ini (keputusan) sebagai isyarat bahawa rakyat tidak menerima penjelasan pucuk pimpinan kita, seolah-olah mereka sudah membuat keputusan bahawa BN tidak akan menang.""Ini satu isyarat yang tidak boleh dipandang ringan walaupun kita harap trend ini hanya berlaku dalam pilihan raya di Permatang Pauh. Ia seharusnya menjadi pengajaran dan isyarat jelas kepada Umno dan BN bahawa ia semakin terdesak untuk membuat perubahan jika ia mahu terus kekal relevan dan diterima."
Syed Hamid Albar
"Secara peribadi saya sudah menjangka keputusan ini dan saya tidak terkejut dan saya fikir kita tidak patut terlalu memikirkan mengenainya."
Ahmad Shabery Cheek
"Ia tidak menjejaskan kepimpinan parti yang sedia ada, Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tetap ahli Parlimen Kepala Batas dan perdana menteri, Datuk Seri Najib (Tun Razak) tetap ahli Parlimen Pekan dan beliau tetap timbalan perdana menteri."
Mukhriz Mahathir
"Saya gunakan analogi alarm clock..alarm dah bunyi kali pertama untuk kita bangun tapi kita tekan butang 'snooze’ saja dan tidur balik. Kita tidak faham-faham lagi dan tidak sedar. Jadi ini bunyi alarm kedua. Bila dah terjaga, adakah kita terus sedar dan lakukan sesuatu atau pun masih tidur. Ini yang kita namakan wake up call."
Tengku Razaleigh Hamzah
"Jumlah undi yang diperolehi BN kurang daripada bilangan ahli-ahli Umno di kawasan (parlimen) itu, menunjukkan kewibawaan perdana menteri serta timbalannya terhakis sepenuhnya."
"Beliau tidak memiliki lagi sekelumit kewibawaan yang perlu untuk mentadbir negara dari hari ke hari, apatah lagi mengatur arah baru yang kita semua perlukan untuk maju dalam dunia yang kompleks."
Mahathir Mohamad (bekas Presiden/Ahli Umno)
"Ramai pengundi tidak ingin undi bagi Dato Seri Anwar. Tetapi mereka juga tidak ingin undi Barisan Nasional. Calon Barisan Nasional baik tetapi kalau beliau menang maka Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi akan dakwa yang dirinya menang, dakwa yang sokongan kepada Barisan Nasional iaitu pada dirinya sudah kembali, dakwa Barisan Nasional telah dipulih dibawah kepimpinannya.""Kamu boleh terus sokong Abdullah sebagai presiden parti. Tetapi rakyat tidak akan sokong Umno kerana ia sudah jadi alat Abdullah dan keluarganya."
"Beliau (Anwar) mungkin fikir yang beliau boleh membeli mereka tetapi pembida lain mungkin mempunyai lebih banyak wang (isu lompat parti)."
Anwar angkat sumpah esok, MP BN bagaimana?
Anwar akan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen yang baru, esok.
Dan rasanya, ini pertama kali Anwar ke Parlimen sebagai ahli pembangkang semenjak 1982.
(i)
Ramai teman yang menggambarkan kekecohan yang bakal timbul jika Anwar turut sama terlibat dalam perbahasan di Dewan Rakyat. Perbahasan Dewan rakyat mungkin akan menjadi topik-topik utama media - mungkin lebih hangat dilaporkan berbanding seawal Mac-April lalu.
Bagaimana kelak situasinya dalam sidang Dewan Rakyat? Kebanyakan Ahli Parlimen BN saat ini pernah dipimpin Anwar sekitar 1993 hingga 1998 dulu, ketika beliau menjawat TPM. Tambah lagi, kepetahan vokal Anwar tiada yang menyangkal. Adakah ini akan mempengaruhi sama kekuatan debat Ahli Parlimen BN?
(ii)
Orang bercakap tentang hal yang lebih besar - iaitu bukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang, tetapi sebagai bakal Perdana Menteri. Malah, dalam ucapan-ucapannya kebelakangan ini, Anwar semacam tidak bercakap atas kapasiti pembangkang - tetapi banyak menuturkan agenda-agenda kerajaan (bukan BN).
Tetapi kes liwat beliau masih belum dibicarakan, dan ini juga haruslah diambil berat!
Nasib Anwar masih tidak diketahui, disabit hukuman atau terlepas. Kalau disabit, mungkin situasi keamanan negara jauh lebih teruk berbanding 1998-1999 dulu!
(iii)
Ini tempoh ujian kesetiaan buat Ahli Parlimen BN. Bukan tidak ada tawaran lompat parti. Bahkan sebelum ini pun sudah ada laporan betapa kelompok ini bertemu dengan bomoh untuk mendapatkan jawapan tentang masa depan!
Ada beberapa hal yang perlu dilihat berhubung soal kesetiaan mereka:
1. Ada yang menjangka Abdullah Ahmad Badawi akan mula dicabar jawatan Presiden Umno dan letak jawatan PM segera.
2. Mana yang lebih menjanjikan kesenangan - terus duduk dalam BN atau lompat?
3. Anwar memiliki mandat yang lebih kuat untuk meyakinkan MP supaya lompat parti. Kalau sebelum ini, menjadi MP pun belum dibuktikan, maka bermula esok, kekuatan Anwar mulai bertambah.
4. Sejauh mana pakatan Abdullah-Najib mampu untuk 'menjaga hati' mereka.
Selasa, Ogos 26, 2008
P44 Permatang Pauh: Anwar menang
Ada dua lagi perkara yang belum diselesaikan oleh Anwar untuk menjadi PM Malaysia.1. Memastikan sejumlah Ahli Parlimen BN lompat parti menyebelahi beliau.
2. Mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dan perkenan YDPA bagi membolehkan beliau menjadi PM.
Kalau mengikut yang disebut-sebut sebelum ini, tarikh yang dijanjikan ialah 16 September nanti. Bagaimanapun, ia masih diragukan sebab:
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata mana-mana pihak yang memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh hari ini berkemungkinan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen pada pertengahan Oktober ini!
Menurut beliau, majlis angkat sumpah itu tidak perlu diadakan tergesa-gesa sebelum pembentangan Bajet 2009 pada Jumaat ini, sebab Parlimen akan kembali bersidang pada Oktober ini selepas ditangguhkan pada bulan depan.
*Grafik dipetik dari Berita Harian Online.
Isnin, Ogos 25, 2008
Permatang Pauh: Anwar menang atau kalah?

Dijangkakan terdapat seramai 20 peratus daripada 41,000 pengundi Melayu di Permatang Pauh merupakan pengundi atas pagar, dan tidak berdaftar dalam mana-mana parti politik. Kumpulan ini amat ditakuti kedua-dua pihak - BN dan Pakatan Rakyat.
Kalau dihisabkan, jumlahnya sekitar 8,200 pengundi Melayu.
Daripada jumlah 41,000 pengundi Melayu itu, 17,000 daripadanya merupakan ahli Umno. Kalau mengikut sifir mudahnya, terdapat kira-kira seramai 15,800 pengundi Melayu yang menjadi ahli parti-parti dalam Pakatan Rakyat.
Dengan mengasingkan terlebih dahulu sejumlah pengundi bukan Melayu yang sekitar 17,500 - bersandarkan pada hujah ini, kita akan temui bahawa keputusan PRC Permatang Pauh esok belum tentu menyebelahi calon pilihan, Anwar Ibrahim!
Kenapa?
Kemenangan calon untuk esok amat bergantung kepada pengundi atas pagar dan pengundi bukan Melayu!
(i)
Joceline Tan dalam kolumnya di The Star hari ini membincangkan isu pengundi atas pagar yang menurutnya amat sukar untuk dibaca sokongannya (Fence-sitters hard to read). Menurutnya, isu mubahalah Saiful boleh mempengaruhi sebahagian kelompok pengundi atas pagar ini - iaitu golongan tua dan suri rumah.
1. But Saiful Bukhari Azlan swearing on the Quran inside a mosque has really put this group of politically non-committal group in a quandary.
In the last few days, colour banners showing Saiful seated cross-legged with one hand on the Quran flanked by his father and the imam have gone up in parts of the constituency.
2. But a Merdeka Centre survey, which is still being tabulated, suggested that the sodomy allegation against Anwar has had an impact on the older generation and housewives.Housewives, in particular, had been very loyal to Wan Azizah throughout her husband’s incarceration because they identified with her plight. But because they are not serious readers or Internet-savvy, they also tend to be more susceptible to hearsay and persuasion.
Dalam satu tinjauan oleh Merdeka Center ke atas 544 pengundi Melayu P44 Permatang Pauh berhubung pandangan mereka terhadap mubahalah Saiful, didapati:31.4 peratus daripada mereka benar-benar menerima kejujuran Saiful! Dan kalau ditinjau lagi, secara kesimpulannya berdasarkan tinjauan Merdeka Center, sokongan ke atas Anwar masih gagal mencecah 60 peratus.
(ii)
Sekiranya 17,000 pengundi Melayu yang merupakan ahli Umno ini tidak cuba melakukan protes seperti PRU Mac lalu, pastinya Anwar amat bergantung pada sokongan pengundi atas pagar selain pada penyokong-penyokongnya.Kalau pengundi Umno pada kali ini bersetia pada pucuk pimpinan seperti PRU 2004 - maka Anwar akan menemui laluan sukar seperti mana isterinya, Wan Azizah yang hanya memenangi kerusi ini dengan kelebihan 590 undi sahaja!
Kita mungkin boleh menjangka penyesalan memprotes BN di kalangan ahli Umno berdasarkan keputusan PRU Mac lalu. Kehilangan beberapa negeri di bawah penguasaan BN boleh menjadi faktor pengundi (yang merupakan ahli Umno dan BN) menyatakan sokongan kepada Arif Shah.
Lagipun, sentimen 'ketakutan' terhadap 'perjalanan Anwar ke Putrajaya' mungkin menjadi pendorong mereka gusar untuk memprotes BN. Desas-desus MP lompat parti dan kekuatan Anwar tidak boleh diperlekehkan.
(iii)
Bagaimanakah pula dengan kelompok yang mual dengan peperangan politik antara BN dan PR ini? Adakah mereka akan bertindak tidak turun mengundi atau memangkah calon AKIM? Dan mungkinkah terdapat di kalangan pengundi Pas - tidak boleh menerima Anwar - lalu memilih Hanafi Mamat?
Tidak mustahil sebahagian mereka yang bergelar pengundi atas pagar ini bingung dan geram kerana dihumban dengan saratnya isu-isu politik yang tidak dapat ditentukan kebenarannya. Isunya bertimbun-timbun seperti yang disenaraikan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian:
Isu kuota kemasukan ke UiTM (Universiti Teknologi Mara), isu barisan kabinet Anwar, isu sumpah Saiful dengan penerangan golongan alim ulama, isu kedudukan agama Islam dan orang Melayu, sumbangan kerajaan negeri yang diketuai oleh DAP terhadap pembangunan orang Melayu, isu pertikaman lidah antara Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng (DAP) dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin (PKR) yang dikatakan berbau perkauman dan isu rasuah oleh Exco PKR di Perak.(iv)
Bagaimana pula dengan kehadiran bekas dua orang kuat Anwar, Ezam dan Nalla? Ini pun turut mempengaruhi persepsi pengundi.
Dan, jentera BN seluruh negara turut sama menggembeleng usaha memastikan PRC ini menyebelahi mereka. Bayangkan, media milik BN semuanya bertubi-tubi menyerang Anwar! Pengalaman BN dalam PRC turut menyumbang kepada kesukaran Anwar di sini. Tulisan saya sebelum ini ada mengulas berhubung 5 penyebab Anwar boleh tewas.
(v)
Bagaimanapun, kekuatan Pakatan Rakyat tidak boleh diperkecilkan. Permatang Pauh sememangnya ada nostalgia yang menyebelahi Anwar - ia bermula sejak 1982 apabila Anwar berjaya merampas kawasan ini daripada calon Pas, Zabidi Ali.
Isu imam yang menjadi saksi mubahalah Saiful juga, mungkin tidak salah dikatakan telah menyebelahi Anwar.
Imam dipolitikkan - mana satu yang betul?
Laporan terbaru mengenai beliau, saya petik dari mStar Online:
Ini yang menyebabkan beliau mula diragui apabila sudi menjadi saksi untuk mubahalah Saiful. Dan apakah yang menyebabkan imam ini begitu senang berkempen bersama PKR? - seperti yang dilaporkan oleh agensi berita berkenaan:Beliau menjadi kontroversi apabila timbulnya risalah edaran yang mempertikaikannya sebagai ahli Pemuda Umno dengan nombor keahlian 03405843 disebarkan dengan meluas ketika ini.
Risalah itu menyebut beliau merupakan ahli Umno Cawangan Seri Macang dalam Bahagian Bukit Mertajam.
Peti undi Ramlang ialah Penanti dalam bahagian Permatang Pauh.
Kandungan risalah itu menyebut: "Akhirnya tembelang orang yang bernama Ramlang Porigi, yang dikatakan imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful terdedah juga.
"Beliau adalah ahli Pemuda Umno Cawangan Seri Machang dalam Bahagian Bukit Mertajam dengan kod keahlian 03405843.
Dilihat sebagai satu lagi kejutan kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, imam yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 15 Ogos lalu, Ustaz Ramlang Porigi muncul pada majlis solat di Masjid Perda di sini bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim.Apa sebenarnya ini? Mulanya mengaku ahli Umno, kemudian bertindak berkempen untuk Anwar. Maka terbit persoalan di sini,:Ceramah yang diadakan di masjid itu turut dihadiri oleh Anwar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS.
Di masjid itu, Ramlang menegaskan bahawa beliau telah diarahkan supaya menjadi saksi upacara bersumpah itu.
Selain di Masjid Perda, beliau juga menjelaskan pendiriannya di Masjid Timah Kg Belah 2, Seberang Jaya dan diakhiri dengan ceramah di Padang Ibu, Penanti.
Dalam kenyataan di hadapan kira-kira 2,000 penyokong, Pakatan Rakyat Ustaz Ramlang berkata, " pada hari itu saya... saya diarahkan oleh orang atasan saya untuk menjadi saksi sumpah Saiful Bukhari, saya antara empat orang imam yang diarahkan untuk menjadi saksi."
1. Adakah imam berkenaan benar-benar merasakan perbuatannya menjadi saksi mubahalah itu satu perlakuan yang salah? Maka dengan itu, beliau berani bertukar tindakan?
2. Mana satu yang betul? Laporan Malaysiakini semalam menyebut:
Imam itu juga meminta beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah Mohd Saiful (foto, kanan) kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.Manakala dalam ucapannya ketika bercakap di hadapan penyokong Pakatan Rakyat pula:
Mengulas lanjut mengenai majlis bersumpah Mohd Saiful, Ramlang berkata, beliau bukannya menjadi saksi sumpah Saiful.
"Apabila kebetulan Saiful tersalah sebut lafaz sumpahnya, oleh kerana saya berada di situ, jadi saya tegurlah," katanya.
Oleh itu, jelasnya, beliau tidak ada sebarang kaitan dengan sumpah Saiful, yang diadakan sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.
" pada hari itu saya... saya diarahkan oleh orang atasan saya untuk menjadi saksi sumpah Saiful Bukhari, saya antara empat orang imam yang diarahkan untuk menjadi saksi."3. Imam ini sudah jadi mangsa politik kedua-dua pihakkah?
Jumaat, Ogos 15, 2008
Saiful lafaz sumpah laknat
Sebentar tadi Mohd Saiful telah melafazkan sumpah mengikut syariat Islam untuk membuktikan kebenaran dakwaan dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta jam 6.30 petang tadi.“Saya Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan nama Allah saya bersumpah saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 dan pada hari tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.
“Jika saya berdusta dengan perkara ini, saya berdusta dengan Allah S.W.T dan akan dilaknat oleh Allah S.W.T sehingga hari kiamat.”
Selasa, Ogos 12, 2008
1 September: Harga minyak bakal turun?
Kerajaan sedang memantau harga minyak global setiap bulan dan sekiranya aliran harga minyak menurun atau stabil pada AS$100 hingga AS$120, secara prinsipnya kerajaan memang bersedia untuk menurunkan harga petrol.Sekarang ini, ketika saya sedang menulis, harga minyak dunia ialah AS$113.04 setong (papan harga di sebelah kanan laman, di bawah). Sekiranya ia tidak naik melebihi paras AS$120 (ragamnya stabil sepanjang bulan), kita akan menikmati harga minyak yang lebih murah berbanding RM2.70 seliter - bermula 1 September.Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Ini janji kerajaan seperti yang telah diumumkan sebelum ini (jika tiada sebarang perubahan pada harga minyak tempatan, walaupun sudah dipastikan harga dunia tidak melepasi paras AS$120 - kerajaan pasti akan menanggung akibat yang lebih besar!).
Dengan pengekalan subsidi pada kadar RM0.30 seliter, berapa sen agaknya harga minyak bakal diturunkan?
Isnin, Ogos 11, 2008
Bendera yang lara!
Kalau kita ingat pada tahun lepas, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan memberi arahan kepada semua pemilik bangunan di negara ini supaya mengibarkan Jalur Gemilang. Kegagalan berbuat demikian mengakibatkan mereka dihukum - gambar premis akan disiarkan dalam media massa.Arahan ini keluar sebelum masuk bulan Ogos tahun lalu.
Kalau dulu, ia cukup meriah. Cukup mudah untuk kita temui bendera-bendera Malaysia dipamerkan pada kenderaan sepanjang bulan Ogos.
Allahyarham Sudirman Hj Arshad pernah satu ketika memperagakan sut baju Melayu corak bendera Malaysia. Selepas itu ramai lagi, termasuklah Nasha Aziz. Malah model berkemban kain bendera juga ada!
Tahun ini 2008. Sekarang kita menghampiri separuh bulan Ogos, tetapi amalan mempamerkan bendera Malaysia sebagai tanda menyambut kemerdekaan sudah semakin berkurangan. Orang lebih gemar mengibarkan bendera parti politik kesayangan mereka.
Adakah disebabkan terlalu saratnya Malaysia dengan kejadian-kejadian yang parah, rakyat kita sudah tidak peduli amalan ini? Atau sudah terlupa? Atau mungkin tidak ada signifikannya lagi?
Ahad, Ogos 10, 2008
Isu Sains & Matematik dalam BI (sudut politik)
Hujah paling popular (yang menentang PPMSI) ialah kedaulatan bahasa Melayu akan tergugat, kekurangan tenaga pengajar dan prestasi pelajar dalam subjek berkenaan akan merosot.
Hujah ini diucap oleh pelbagai kelompok termasuklah ahli politik.
(i)
Februari lalu, PM ada menyebut tentang hal kerajaan mahu mempertimbangkan semula PPSMI berikutan rungutan awam. Katanya, PPSMI akan dinilai secara terperinci, kemudian barulah ada keputusan untuk mengubahnya.
Kalau diikutkan, PPSMI untuk kumpulan perintis akan berjalan lima tahun (bermula 2003). Menteri Pelajaran telah pun berkata, projek perintis inilah yang menjadi keputusan dasar sama ada untuk mengekalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau sebaliknya.
2008 merupakan tahun yang kelima.
(ii)
Kita tidak dapat menjangka niat sebenar ahli politik apabila cuba menghujahkan isu ini. Keraguan ini timbul atas beberapa faktor:
1. Di bawah pentadbiran Dr Mahathir, ahli-ahli kabinetnya (dan ahli politik sealiran) kelihatan menyambut baik usaha ini tanpa ada penentangan. Bagaimanapun, selepas beralih pentadbiran PM, sebahagian mereka yang bersetuju tadi mulai menentang usaha terbabit.
2. Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin yang tidak menjadi orang penting ketika Dr Mahathir mentadbir, lantang mahukan kerajaan mengembalikan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Melayu. Ini disuarakan beliau ketika membahas usul dalam Perhimpunan Agung UMNO November lalu. Isu ini bangkit pada waktu itu, dengan kenyataan-kenyataan oleh ahli politik lain yang senada dengan Khairy (walaupun sebelumnya berbeza).
Dan untuk mendesak kerajaan, atau lebih tepat Kementerian Pelajaran, kaedah yang lebih mudah ialah bertemu sendiri menterinya yang juga berjawatan Ketua Pemuda UMNO.
3. Apabila ahli politik Melayu berhujah bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tergugat kerana PPSMI, mereka juga perlu melihat ketempangan lain yang lebih nyata - misalnya pertuturan seharian dan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Pertuturan mereka lebih cenderung mencampur adukkan Bahasa Melayu dengan Inggeris. Bahkan di kalangan mereka sendiri bahasa Inggeris lebih selesa dituturkan.
Rakyat sangat sensitif menilai pemimpin. Jika ahli politik itu sendiri gagal menunjukkan lagak seorang pencinta bahasa Melayu, sudah pasti akan timbul keraguan terhadap niat mereka.
(iii)
Umno Johor antara badan politik yang disebut-sebut berterusan memperjuangkan isu ini. Isu ini turut dibangkitkan dalam usul Mesyuarat Agung Tahunan Umno, November lalu. Cuma kita tertanya-tanya, selain gesaan mengembalikan subjek terbabit diajar dalam Bahasa Melayu, tidak adakah usaha lain untuk memartabatkan bahasa ibunda kita?
Persoalan ini terbit - buat Umno secara khususnya - atas sebab perjuangan terhadap Bahasa Melayu adalah asas dalam perlembagaan Umno. Maknanya, bila sebut berjuang untuk bahasa, isunya bukan terhad pada PPSMI sahaja.
Kita boleh mengharapkan DBP dengan peranannya, nasionalis bahasa, ahli akademik dan badan-badan bahasa yang lain - tetapi ahli politik mempunyai kuasa membuat keputusan.
(iv)
Hari ini, pencadang PPSMI telah mengulas signifikannya usaha terbabit. Hujahnya - penguasaan ilmu. Di hujung tulisan, beliau catatkan:
Pemimpin dan pejuang yang hanya ingin disukai ramai dan kerana itu sanggup membiar bangsanya menjadi kolot dan hina, bukanlah pemimpin yang sayang bangsanya. Mereka hanyalah oportunis yang sanggup gadai bangsa sendiri asalkan mereka dapat kekalkan kedudukan mereka. Mereka ini bukan nasionalis dalam erti kata sebenar.Persoalannya di sini ialah, sekiranya kebanyakan rakyat bersetuju dengan PPSMI, adakah ahli-ahli politik (yang menentang PPSMI) berani untuk mempertahankan pendapat mereka?
Khamis, Ogos 07, 2008
Permatang Pauh: 5 hujah Anwar boleh tewas
Bagaimanapun, terdapat juga pandangan tidak popular yang menyatakan Anwar belum tentu boleh menang di kawasan tersebut.
Saya cuba mengulas tulisan Syed Nazri (Editor Kumpulan NSTP) dalam tulisannya bertajuk 5 reasons Anwar could lose dalam NST, 5 Ogos lalu.
(i)
Barisan Nasional hardly ever loses in a by-election. The near-impeccable record is due largely to its clinical machinery derived from the years of experience of contesting all the by-elections there had ever been as a coalition force.Rekod sebelum ini, semenjak 2004 menunjukkan BN menang 6-0 dalam pilihan raya kecil yang disertainya - Kuala Berang, Terengganu (Ogos 2004), Ba'kelalan, Sarawak (September 2004), Pengkalan Pasir, Kelantan (Disember 2005), Batu Talam, Pahang (Januari 2007), Machap, Melaka (April 2007) dan Ijok, Selangor (April 2007).
Bahkan, di Ijok, orang kuat PKR, Khalid Ibrahim juga tewas mudah di tangan pencabar yang namanya sebelum itu tidak dikenali (Parthiban) dengan Anwar sendiri bertindak sebagai ketua kempen PKR!
(ii)
Anwar will go into this fight with a sodomy allegation hanging over him and this could be crucial to the outcome either way.Ada beberapa sebab yang boleh menunjukkan pengundi mulai menolak tuduhan meliwat ini sebagai satu konspirasi (berbanding 1998):
1. Terlalu banyak dalih yang dilakukan Anwar. Antaranya, mahu dibicarakan di bawah bidang kuasa syariah, berdalih dalam mubahalah, tidak mahu DNA diambil dan beberapa yang lain.
2. Nota perubatan Dr Osman bersungguh-sungguh dikatakan bukti Anwar tidak bersalah, walhal ia sebaliknya menjadi senjata makan tuan.
3. Ada yang terfikir, kerajaan mana yang begitu 'baghal' mengulangi 'skrip konspirasi' yang sama.
4. Tiba-tiba Anwar tergesa-gesa mahu bertanding di Permatang Pauh dalam jangkaan beliau mahu dibicarakan berhubung kes liwat ini, termasuklah pengumuman mahu bertanding di Kulim-Bandar Baharu tidak lama sebelum itu.
5. Saiful bersungguh-sungguh mahu dirinya dibela, malah sangat berani mahu bersumpah yang dirinya benar-benar diliwat Anwar.
Tuduhan ke atas Anwar ini, paling tidak telah mewujudkan persepsi di kalangan pengundi yang beliau merupakan seorang yang tidak bermoral.
(iii)
Anwar's opponent. It is understood that the BN, in anticipation of Anwar's attack strategy, is strongly considering fielding either a respected religious figure or someone who knows Anwar inside out.Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin (a respected religious figure) telah menolak permintaan, manakala Ezam Mohd Nor (someone who knows Anwar inside out) masih diragui kemampuannya.
Sudah banyak penganalisis dan politikus menyatakan pandangan mereka berhubung calon bagaimanakah yang paling layak untuk menentang Anwar - dan majoritinya menyebut, calon tempatan.
Ada nama lain yang disebut-sebut:
1. Ahmad Saad, bekas Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh (pernah tewas di DUN Permatang Pasir sebanyak 3,194 undi pada 1999)
2. Abd Jalil Abd Majid, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh (pernah menang di DUN Penanti pada 2004, tewas pada 2008)
3. Dr Ibrahim Saad, Ketua Umno Bahagian Batu Kawan (pernah tewas kepada Wan Azizah sebanyak 9,077 undi pada 1999)
Tetapi Permatang Pauh tidak menjanjikan pengundi yang benar-benar tegar sokongan pada Anwar dan keluarganya, sebab keputusan pada 2004 nyaris-nyaris berpihak pada bekas Imam Masjid Negara.
Pirdaus mendapat 21,288 undi dan Wan Azizah 21,737 undi iaitu perbezaan sebanyak 449 undi.
Malah, keputusan terbaru (2008) juga tidak menjanjikan Anwar boleh menang mudah. Di peringkat Parlimen, jelas kemenangan besar berpihak kepada Wan Azizah (30,338) yang menewaskan Pirdaus (16,950) sebanyak majoriti 13,388 undi.
Tetapi kalau kita jumlahkan mengikut undi di peringkat DUN (Seberang Jaya, Permatang Pasir dan Penanti) jumlahnya akan jadi begini: BN 20,093 undi manakala PKR/Pas 27,212 undi. Ini bermakna, rekod PRU terburuk dalam sejarah BN - Permatang Pauh masih mampu mengumpulkan pengundi BN seramai itu!
(iv)
Added to that is the upcoming Umno elections. Just about everyone in the party would want to use Permatang Pauh as a stage to impress and perhaps score points for the party polls in December. There is the right mood in BN.Jentera dari satu Malaysia akan turun. Dan lagi, memang perangai pemimpin Umno cukup suka merebut peluang meraih populariti, walaupun dalam keadaan parti itu sedang terdesak. Oleh sebab sekarang ini musim pemilihan, maka Permatang Pauh akan menjadi medan politiking yang bakal menyaksikan kesungguhan pemimpin Umno membantu gerak kerja pilihan raya kecil itu nanti.
Anwar akan berhadapan dengan pemimpin-pemimpin Umno yang sedang berusaha sedaya upaya menunjukkan 'pengorbanan' mereka!
(v)
Voter sentiment, perhaps the most significant. It cannot be denied that the ground has shifted much since March 8 with a change in state government and, with that, political leaning.Apabila DAP menjadi pemerintah negeri, sudah mula ada isu-isu yang tidak disenangi oleh pengundi Melayu. Misalnya, isu DEB.
69.4 peratus pengundi di Permatang Pauh mewakili kaum Melayu. Faktor kerajaan negeri turut mempengaruhi trend pengundian di parlimen ini kelak. Kalaulah pemerintah baru ini kurang disenangi, ini bermakna, Anwar belum tentu boleh terjamin kemenangannya.






