Khamis, Julai 31, 2008

Permatang Pauh: Kenapa Anwar tergesa-gesa?

"Hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dalam satu pilihan raya kecil secepat mungkin," kata Dr. Wan Azizah, dalam satu sidang media sebentar tadi.

Lantaran itu juga, Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding di kawasan tersebut.

(i)

Apa yang menimbulkan tanda tanya ialah, kenapa begitu lekas Anwar mahu bertanding, sehingga tidak mahu menunggu kekosongan kerusi Kulim-Bandar Baharu? Kawasan ini selamat untuk beliau menang berdasarkan keputusan 8 Mac lalu: 22,255 undi berbanding 5,583.

Asalnya, Anwar mahu bertanding di Kulim-Bandar Baharu (bekas calon BN, Abdul Aziz Syeikh Fadzir memfailkan petisyen berikutan kegagalan MP Zulkifli Nordin membuat penyata perbelanjaan pilihan raya) - tetapi kes ini mengambil masa yang lama untuk selesai.

19 Ogos ini, kes berkenaan akan dibicarakan.

Manakala itu, selewat-lewatnya pada 18 Ogos ini, siasatan polis ke atas kes liwatnya dijangka selesai. Terdapat laporan hari ini yang menyebut siasatan polis sudah selesai dan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut, menurut Syed Hamid Albar.

1. Adakah Anwar menjangka, kes liwatnya dalam tempoh ini difahami awam sebagai satu konspirasi - yang sekali gus melonjakkan populariti beliau? Akan tetapi Permatang Pauh kerusi selamat buat beliau.

2. Ataupun, Anwar benar-benar terlibat dalam kes terbabit dan perlu bertindak segera sebelum akhlaknya mula dipersoalkan awam. Dalam pada itu juga, kalau Anwar dijatuhkan hukuman, beliau akan hilang kelayakan bertanding.

(Seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan oleh mahkamah di dalam Persekutuan (atau sebelum dari Malaysia di dalam kawasan-kawasan Sabah atau Sarawak atau Singapura) dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun atau didenda tidak kurang dari dua ribu ringgit Malaysia (RM2,000) dan belum menerima pengampunan.)

3. Kita tidak dapat menjangka bila kes liwat ini habis dibicarakan. Bagaimanapun, andaikan berlaku sebarang sekatan ke atas Anwar untuk bertanding, atau yang menggugat kedudukannya setelah menang - adakah terdapat kemungkinan sentimen Reformasi akan disentuh semula hingga tercetus keadaan 1998-99 dulu? Penyokong Anwar akan benar-benar marah kepada kerajaan - atas sangkaan konspirasi tadi. Tian Chua dilaporkan meramal Anwar akan ditahan dalam tempoh 48 jam, dan akan didakwa Isnin ini.

(ii)

Mungkinkah ini boleh dikatakan petanda Anwar bakal menjadi PM dalam tempoh terdekat? Kenyataannya sebelum ini, akan berlaku lompat parti secara besar-besaran, selewat-lewatnya 16 September ini.

Anwar ada tempoh 47 hari untuk mencapai misinya menjadi pemerintah.

SPR pula perlu mengadakan pilihan raya kecil Permatang Pauh dalam tempoh 60 hari.

(iii)

Saiful nampaknya bersungguh-sungguh mengatakan beliau diliwat oleh Anwar. Bahkan beliau sedia bersumpah secara rela selepas siasatan selesai. Ditambah pula dengan dolak-dalih Anwar yang banyak dipatahkan - mungkinkah kes ini menyebelahi Saiful?

Kita tidak tahu.

(iv)

Siapakah yang bakal mengisi kekosongan posisi Ketua Pembangkang di Parlimen yang ditinggalkan Wan Azizah?

Rabu, Julai 30, 2008

Liwat: Dr Osman tidak terlibat

Laporan terbaru berhubung kes liwat Anwar-Saiful:

Dr Mohamad Osman Abdul Hamid bukan seorang doktor pakar dan tidak pernah menjalankan pemeriksaan aduan liwat ke atas Mohd Saiful Bukhari. Beliau merupakan pegawai perubatan Pusrawi yang bertugas di Klinik Kemalangan dan Kecemasan.

Kaitan Dr Osman dalam kes ini hanyalah: beliau menasihati Saiful supaya menjalani pemeriksaan lanjut di hospital kerajaan.

Baca laporan penuh di sini.

(i)

Siapa sebenarnya doktor ini? Saya pautkan beberapa artikel yang cuba mengaitkan Dr Osman dengan Anwar:

1. The Osman Conspirasy?
2. Siapa Dr Mohamad Osman - Konspirasi Anwar?

(ii)

Dakwaan Saiful tidak diliwat, berdasarkan laporan Hospital Pusrawi yang 'dibocorkan' oleh Raja Petra dalam Malaysia Today juga disanggah secara teknikal:



1. Ramai yang pertikai 'bar code' yang menindih nama Saiful seolah-olah terdapat usaha untuk memotong dan tampal semula. Telitikan semula 'bar code' ditampal dengan ayat yang tidak sempurna.

2. Maksud tulisan dalam laporan itu :
*Kependekan F/T bermaksud full time.
*Tenesmus x1/52 bermaksud susah nak berak seminggu. Atau berak tak puas
*pain (di cross kan) not noticed any PR bleed - PR is for pathogenesis related - pathogenesis ialah permulaan jangkitan
*pain in the anus when passing motion (for a week)
*pt (patient) was alleged assaulted by intruding tt (too tight) plane (?) into the anus
* willing to do report

3. Terdapat pertikaian singkatan 'o' . Ada mendakwa 'o'(zero) bermakna tiada dan ada yang mendakwa 'o' bermakna observation (pemerhatian lanjut). 'o' bukan makna zero (tiada) tapi "o" maksudnya observation. Kependekan untuk 'tiada' ialah null, no, neg(ative) atau -/ve

4. Diagnosis: TRO Assault (sodomise). TRO = TO RULE OUT . Dalam 'medical term' TRO bermaksud PERLU PENGESAHAN LANJUT.

5. 'advise to go to the government hospital'-Maksudnya dinasihati untuk mendapat pengesahan lanjut di hospital kerajaan.

6. 'plan to do police report'-Maksudnya bercadang untuk buat laporan polis

7. Ini bermaksud pemeriksaan awal doktor Pusrawi mendapati Saiful mempunyai tanda-tanda diliwat dan mencadangkan supaya Saiful memohon mendapat pemeriksaan di hospital kerajaan dan seterusnya membuat laporan polis.

Hujah lanjut boleh dibaca di sini.

(iii)

Mana satu yang betul? Tolak bersumpah, mahu bicara mahkamah Syariah, bangkit kes mata lebam, tolak DNA diambil, minta siasatan ke atasnya dihentikan atas laporan di atas - apa sebenar-benarnya?

Sikap berdolak-dalih ini boleh menyebabkan Anwar akan dianggap bersalah, sebelum hakim benar-benar mengesahkannya!

Selasa, Julai 29, 2008

Penyatuan Melayu, penyatuan Umno-Pas?

Saya tidak tahu kenapa, tetapi kata-kata Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) malam semalam wajar dikongsi bersama.

"Bagi saya, asas penyatuan Melayu ialah iman. Hari-hari kita dalam sembahyang ada sebut, Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah Tuhan Sekalian Alam (doa Iftitah)."

Lebih kurang begitu pandangan beliau dalam rancangan Hujah semalam, dipengerusikan oleh Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff.

Seorang lagi panel, Ahmad Maslan (BN-Pontian) berpendapat, asas penyatuan Melayu selain iman, ialah berkongsi matlamat dalam tujuh perkara, yang saya ingat:

1. Ekonomi
2. Pendidikan
3. Bahasa Melayu
4. Islam
5. Hak keistimewaan

Beliau turut menyentuh soal muzakarah - adakah ia sekadar perkongsian pendapat semata-mata atau ada kata putus dalam mencapai persepakatan Umno-Pas?

Manakala menurut Ibrahim, kalau sekadar mahu bertukar pendapat, perdebatan dalam Dewan Rakyat itu sudah pun menunjukkan aktiviti tersebut. Soalnya lagi, adakah penyatuan Melayu ini seharusnya hanya dipandang melalui sudut politik - gabungan Umno-Pas?

(i)

Saya lontarkan persoalan: Dapatkah Umno dan Pas bergabung? Tidak kisahlah kaedah macam mana pun, Pas masuk Umno atau Umno masuk Pas atau bubar keduanya, tubuh parti baru - adakah kedua-duanya sanggup untuk melakukan pengorbanan?

Ya, bekorban kepentingan yang berbagai - kuasa dan ego!

Jumaat, Julai 25, 2008

Muzakarah atau kongsi kuasa?

Saya yakin, yang merisaukan sebahagian pihak ialah apabila muzakarah ini menjadi tajuk-tajuk utama media sehingga menimbulkan satu andaian oleh rakyat - Pas akan bergabung dengan Umno. Maka kesannya:

1. Akan ada perpecahan apabila ada pihak yang bersetuju vis-a-vis menentang
2. PKR dan DAP akan bertambah curiga pada Pas
3. Menggagalkan usaha Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kerajaan.

Sebab itulah muzakarah ini mendapat tentangan, dan yang inilah tanggapan umum.

(i)

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohamad Khir Toyo berterus-terang tentang impiannya menyatukan Umno dengan Pas di Selangor.
Saya telah mencadangkan agar diadakan satu kerjasama antara Pas dan Barisan Nasional di Selangor.

Saya juga telah membawa pemimpin tertinggi Pas bermuzakarah dengan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Saya juga mencadangkan agar Pas diberi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar serta 4 EXCO. Malahan saya menolak sebarang jawatan bagi mengelakkan dianggap menguasai EXCO yang bakal dibentuk.
Dan impian ini bukannya angan-angan, tetapi dilaporkan perbincangan ini sememangnya pernah berlangsung beberapa hari selepas keputusan PRU pada 8 Mac lalu diumumkan - antara yang terlibat termasuklah Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, Dato' Mustapha Ali dan Abdul Khalid Samad (MP Shah Alam).

Bukan sekali, tetapi sudah tiga kali! Kali kedua Nasharuddin bertemu PM di Parlimen. Itu belum lagi sumber cakap-cakap awam yang turut menyebut adanya kumpulan Pas Reform!

Menurut Dr Khir lagi:
Malangnya, pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pas, melalui Setiausaha Agungnya, Kamaruddin Jaafar, telah menggagalkan usaha tersebut. Saya yakin selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan penting dalam Pakatan rakyat, muzakarah tersebut tidak akan memberi sebarang kesan.
Muzakarah bertujuan untuk kongsi kuasa ini nyata ditentang ramai. Kalau ditanya saya, jawapannya - saya bersetuju untuk apa saja muzakarah sekalipun bagi mencapai kata sepakat UMNO bergabung dengan Pas, sebab saya tidak ada kepentingan apa-apa.

(ii)

Yang ramai bersetuju ialah muzakarah bertemakan isu perpaduan Melayu dan Islam. Dan inilah yang disebut-sebut sekarang ini.

Bagaimanapun, kita tidak begitu dihebahkan tentang butiran muzakarah yang telah dan bakal dilangsungkan. Maka di sini, ada beberapa persoalan yang perlu dijelaskan:

1. Apakah ada kemungkinan kemelut Melayu dan Islam ini dapat ditangani melalui penyelesaian politik - Umno bergabung dengan Pas?

2. Perlukah muzakarah ini disiarkan untuk tontonan umum (andaikan tiada isu sensitif)?

3. Sejauh manakah rakyat mampu mentafsir erti muzakarah ini? Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub dalam satu laporan kelmarin menyebut, muzakarah antara Pas dengan Umno mustahil menjadi kenyataan kerana stigma ahli-ahli Pas peringkat bawahan yang mengaitkan muzakarah ini merupakan perbincangan pakatan politik.

(iii)

Stigma yang dimaksudkan ialah pegangan ideologi. Oleh sebab terlalu banyak cakap awam yang menyebut muzakarah ini merupakan perbincangan untuk bergabung, maka pastinya ia ditentang. Tambah pula, Nik Aziz sendiri dilaporkan menentang perkongsian kuasa sebegini sebab beliau pernah melalui keperitan Pas ditendang BN pada 1978 dulu.

Sama ada benar atau tidak, Anwar Ibrahim antara politikus yang paling takut kalau hal ini benar-benar terjadi. Hasratnya untuk menjadi PM mungkin terbantut. Beliau terpaksa bersaing dalam penawaran yang tinggi, kerana ada khabar angin menyebut penggabungan Pas dan Umno menjanjikan:
  • Lima jawatan menteri penuh ditawarkan kepada para pemimpin Pas
  • Pas ditawarkan jawatan Menteri Besar di Selangor, Perak, Kedah dan Kelantan.
  • Jawatan exco akan diberikan kepada ADUN Pas di Terengganu, Pahang, Perlis dan Johor.
  • Pas akan ditawarkan bertanding semua kerusi yang dimenanginya dalam PRU-12 termasuk semua kerusi yang dimenangi oleh PKR dan DAP.
  • Beberapa pemimpin akan dilantik menjadi senator.
(iv)

Saya kekurangan maklumat. Tolong bantu saya - muzakarah ini tertutup atau terbuka? Sebab kekeliruan kandungan muzakarah inilah yang mencetuskan perbalahan! Kalau ia bersifat tertutup, kenapa umum secara terbuka?

Selasa, Julai 22, 2008

Bomoh dan lompat parti

Ada 52 hari lagi tempoh yang diperlukan oleh Pakatan Rakyat untuk membuktikan 'janji' Anwar berhubung peralihan tampuk kuasa kerajaan. Selewat-lewatnya pada 16 September ini, sejumlah besar Ahli Parlimen BN akan berhijrah ke Pakatan Rakyat, sekali gus membentuk kerajaan baru, menurut Anwar.


Laporan di atas dipetik dari tabloid Buletin Rakyat (1 Ogos). 17 Ahli Parlimen Umno, MCA, Gerakan dan MIC datang berjumpa bomoh bagi:

1. Mengetahui tarikh sesuai untuk berhijrah ke Pakatan Rakyat
2. Potensi dilantik sebagai menteri
3. Masa depan dalam Pakatan Rakyat
4. Meminta rawatan bagi kenaikan pangkat sebagai menteri dan timbalan menteri
5. Minta pendinding diri agar rakyat kasih kepadanya

Ini pengakuan bomoh berkenaan, tetapi beliau enggan mendedahkan identiti dan butir lanjut Ahli Parlimen berkenaan.

Hahaha!

Apa punya lucu tindakan mereka. Lebih baik minta jadi Perdana Menteri!

Isnin, Julai 21, 2008

Keadilan isu liwat Anwar vs Saiful

Memandangkan isu liwat ini lebih berupa politikal berbanding kes jenayah, maka ada beberapa perkara yang saya kira perlu kita fikirkan semula.

(i)

Kita berhadapan dengan satu masalah: siasatan belum selesai dan perbicaraan belum pun bermula, tetapi orang kita sangat lekas menjatuhkan hukum. Antaranya:

1. Anwar benar-benar meliwat
(Katakanlah Anwar tidak terlibat, nyata beliau menjadi mangsa fitnah dan kita telah berlaku kejam ke atas beliau).

2. Konspirasi jahat kerajaan
(Katakanlah Anwar benar-benar meliwat, Saiful telah diperlakukan tidak adil dan menjadi mangsa propaganda Anwar. Kesan yang sama tertimpa pada kerajaan)

Kita tidak berada dalam lingkungan terdekat kes ini. Maklumat yang asli juga tidak dapat dipastikan. Yang pernah dituduh merancang konspirasi 1998 telah pun menyampaikan sebahagian maklumat yang beliau ketahui/fikirkan. Itupun kita tidak pasti benar atau tidak:
4. As I said, Anwar can be convincing in his arguments especially with those who want to believe in him. The Western Press has already concluded that this accusation against Anwar is the same old political plot to prevent him from becoming the Prime Minister.

5. The last time it was I who was the prime mover. Dato' Seri Abdullah has denied he is involved this time, but the Western Press and the American friends of Anwar will not be convinced and will not let him get off the hook.

6. Yet can it be that the present Government is so stupid and unimaginative as to use the same "ploy", especially after it was so happy over the release of Anwar? Surely it could come up with another story which would be more credible if it is deliberately plotting or conspiring against Anwar. The probability is that the story is the same because it is genuine.

7. Is the present complainant a copycat? Hardly likely. Few would care to make public such a very shameful thing as being sodomised. In fact, the last time at least two people came to see me claiming they were sodomised by Anwar. But they were unwilling to make a report or be witnesses in court. One of them, however, did see the imam of Masjid Negara (now Member of Parliament for PAS), to seek advise on the religious angle.
Dua hukum sudah menjadi pasti dan dipegang oleh sebahagian rakyat, walhal perkara sebenarnya masih belum dibongkarkan. Inilah payahnya apabila berfanatik parti.

Bila masanya, di mana dan bagaimana hal Anwar meliwat atau tidak sudah dipastikan kebenarannya oleh orang yang berpegang pada hukum sebegini?

Kita boleh membuat perkiraan, tetapi ia bukanlah jawapan yang pasti.

(ii)

Ini berkaitan institusi kehakiman dan polis. Ada dua hal yang berlawanan:

1. Banyak kenyataan Anwar berhubung kesnya menunjukkan beliau tidak berpuas hati dengan penghakiman dan siasatan. Dan penyokong-penyokongnya juga mendakwa hakim dan polis, tidak lain terlibat dalam konspirasi kerajaan. Atas hujah campur tangan eksekutif dalam perlantikan hakim - maka Anwar dikatakan tidak bersalah tetapi menjadi mangsa politik.

Soalnya, kalau kes Anwar ini sebenarnya memang diadili dengan betul - bukankah hal di atas merupakan satu penghinaan besar ke atas institusi tersebut?

Dan kita pun akan tertanya tanya, kenapa tindakan saman-menyaman dan membuat laporan polis boleh pula dikerapkan (sebagai senjata politik mereka) dalam keadaan hilang kepercayaan terhadap institusi berkenaan?

2. Andaikan segala dakwaan Anwar benar dan beliau benar-benar menjadi mangsa. Bermakna, kita berhadapan dengan kepincangan yang sangat dahsyat!

(iii)

Di manakah MCA, MIC dan Gerakan dalam isu ini? Adakah mereka sedang mengambil langkah bijak dengan mengambil jalan selamat untuk tidak mahu campur tangan, atau rugi kerana tidak mengambil peluang ini bagi meningkatkan populariti (membangkitkan isu kehakiman dan polis), atau disuruh diam, atau media tidak mendekati mereka?

Mainan politik untuk apa?

Ada banyak tujuan manusia berpolitik. Kita tidak dapat rumuskan secara tepat dan tunggal, yang mana satukah tujuannya. Tetapi, rangkanya hanya dua - baik dan tidak baik.

Di Malaysia, yang cukup kita marah dengan mainan politik ialah apabila ia melibatkan kepentingan perniagaan.

Misalnya, pusing-pusing cerita, rupa-rupanya ia adalah bertujuan untuk keuntungan ekonomi si politikus terbabit.

Dalam satu khabar angin, katanya, pelaksanaan bayaran rebat tunai sebagai ganti subsidi minyak itu melibatkan keuntungan politikus yang bernama 'ehem ehem'. Selonggok wang besar sebesar bilion disua kepada satu jabatan 'uhuk uhuk' yang sahamnya dimonopoli oleh syarikat milik 'ehem ehem', bagi tujuan pembayaran itu.

Sebahagian wang terbabit dikembangkan melalui simpanan/pelaburan.

Banyak lagi khabar angin lain yang serupa maksud dengannya. Misalnya, si polan polan ini mati-mati mencadangkan satu idea baru untuk kepentingan rakyat - yang akhirnya saranan terbabit menjadi keuntungan buat si polan polan itu.

Saranan itu bahkan disambut oleh pengampu-pengampu di sekelilingnya yang seolah-olah inilah idea paling bergeliga yang terpancar dari buah fikiran si politikus itu. Walhal, pengampu-pengampu ini juga mahu berkongsi sama keuntungan itu.

Apabila kita bercakap soal pengagihan kekayaan - sasaran 30 peratus ekuiti milik Bumiputra, yang sehingga hari ini hanya sekitar 18.9 peratus - sebenarnya tersangkut di tangan orang-orang yang disebutkan di atas.

Yang diagihkan secara membazir, tersebar luas dan cukup mengkayakan kita ialah: pembodohan.

Khamis, Julai 10, 2008

Saiful cabar Anwar bersumpah!

Saiful Bahri, bekas pembantu Anwar yang didakwa telah diliwat bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah mengeluarkan kenyataan cabar. Berikut saya petik buletin yang dikirim beliau dalam laman Friendster:

Tarikh: Isnin, 7 Julai, 2008 2:49 PM
Subjek:Buat Rakyat Malaysia yang dikasihi
Mesej: Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Rakyat
Malaysia,

Dengan ini, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan ingin mencabar
Anwar Ibrahim supaya BERMUBAHALAH di hadapan para ulamak.

Kepada Rakyat Malaysia yang dikasihi, Ingin saya tegaskan disini bahawa isu ini adalah ISU PERIBADI antara saya dan Anwar. Saya harap agar seluruh rakyat Malaysia bertenang dan tidak termakan dengan taktik kotor si MUNAFIK yang sedang dalam kelemasan ini.
Saya terima segala tohmahan dengan hati terbuka dan tidak
sesekali mempersalahkan rakyat dalam hal ini.

Sebagai mangsa, saya berhak untuk mendapat pembelaan.
"Yang HAK Pasti Berdiri, Yang BATIL Pasti Jatuh",
Allahhuakbar.

Sekian,

Saiful Bukhari.

p/s: Kepada Anwar, tetapkan tarikh dan masa untuk BERMUBAHALAH . Insyaallah saya akan hadir.
Saya tidak gentar.

Isnin, Julai 07, 2008

Kontradiksi sumpah laknat


Isu liwat Anwar-Saiful yang dikatakan mengelirukan rakyat, telah diusul penyelesaiannya oleh Mufti Perlis, Dr Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin. Beliau mencadangkan Anwar dan Saiful bersumpah laknat (bermubahalah) dengan lafaz:
"Ya Allah! Jika aku lakukan apa yang dituduh ke atasku, maka laknatilah aku" untuk Anwar.
"Ya Allah! Jika dia tidak lakukan apa yang aku tuduh itu, maka laknatilah aku" untuk Saiful.
Sebentar tadi Anwar sudah umum kesediaannya untuk bersumpah, dengan syarat:

1. Kes beliau dibicarakan sepenuhnya di Mahkamah Syariah
2. Mengikut nasihat ulama

"Saya bersedia bersumpah asalkan dinasihatkan ulama. Jika mahu ikut syariat Islam, kerajaan boleh hadapkan saya ke Mahkamah Syariah. Masa itu kalau diperlukan bersumpah, saya sedia (untuk bersumpah), kata beliau, dipetik dari mStar Online. Laporan berkaitan juga boleh dibaca di sini.

Manakala bekas pembantunya, Saiful turut menyatakan kesanggupannya untuk bersumpah.

(i)

Ada sedikit percanggahan faham berhubung isu ini.

Harakahdaily melaporkan Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Hashim Yahaya dan beberapa yang lain berkata Anwar tidak perlu bersumpah kerana ia tidak menepati undang-undang Islam.

Berikut merupakan petikan laporan berkenaan:

Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.

"Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma 'Wallahi, Wabillahi, Watallahi'," tegasnya.

1. Dalam laporan lain, Harussani sebelum ini menyatakan Anwar perlu bersumpah sekiranya tiada bukti dan keterangan yang boleh dijawab. Lihat laporan ini.

2. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, bersumpah dengan menjunjung al-Quran adalah cara untuk menentukan kebenaran dan juga sesuatu yang dituntut dalam Islam. Lihat laporan ini.

3. Dr Asri berkata, bersumpah dengan menjunjung Al Quran bukanlah kaedah Islam dan beliau tidak mencadangkan sumpah dengan kaedah itu. Lihat laporan ini.

Ini masalah media agaknya. Kita tidak mempersoalkan kredibiliti wartawan, tetapi kita ragu-ragu pada ketepatan fakta yang dikeluarkan oleh tokoh agama di atas - sebab kecondongan politik.

Malah, kalau dirujuk pada laporan-laporan di atas, kita takut kalau-kalau tersangka bahawa tokoh-tokoh ini tidak 'sebulu'. Misalnya, ia telah pun dibuktikan pada petikan laporan Harakahdaily ini:
Mengulas mengenai cadangan beberapa pihak termasuk Mufti Perlis yang menggesa Ketua Umum KeADILan itu bersumpah untuk membuktikan beliau benar atau pun tidak, Harussani secara sinis mengatakan, "itu cadangan dari orang yang terlebih pandai."
(ii)

Saya masih tidak mengerti kenapakah Anwar kelihatan seperti sukar untuk bersumpah, walhal beliau berkeras mengatakan ini hanyalah konspirasi. Ada beberapa dalih yang terang-terang ditunjukkan, misalnya mahukan perbicaraan di bawah bidang kuasa syariah dan khabar-khabar yang menyatakan beliau cuba lari daripada menjawab soalan wartawan berhubung isu sumpah, sebelum ini.

Antara lain, soalan yang timbul ialah - bagaimanakah yang dikatakan 'mengikut nasihat ulama' - ulama yang mana, adakah hanya pada mereka yang menasihati Anwar tidak perlu bersumpah? Atau keputusan majoriti Majlis Ulama Malaysia?

Perbuatannya ini lebih menambah curiga, apatah lagi sesudah fakta penghakiman kes liwatnya sebelum ini dibangkitkan semula:
Jika dihitung kita akan dapati kesemua 10 hakim yang mendengar kes Anwar meliwat Azizan bersetuju perbuatan liwat oleh Anwar memang benar, walaupun dua di antara mereka memberi alasan teknikal untuk tidak menjatuhkan hukuman salah ke atasnya (Chedet.com).
Anwar tidak perlu menunjukkan rambang ketakutan, bahkan kesediaannya secara tegas boleh menjerat politikus lain, misalnya TPM sendiri berhubung isu Altantuya.