Khamis, April 24, 2008

Transisi politik?

Kemaskini, 26 April Sabtu, 2.15 am

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menafikan kenyataan Anwar Ibrahim yang menyebut ahli Parlimen Sabah akan lompat parti.

''Mereka menang atas sokongan rakyat menerusi tiket BN, saya percaya mereka tidak mudah diganggu-gugat khususnya oleh pemimpin pembangkang yang sentiasa bersikap oportunis dan gilakan kuasa.

''(Pembangkang) sanggup mengeluarkan macam-macam kenyataan mengenai Ahli Parlimen Sabah seolah-olah mereka ini senang dijual beli," kata Musa, memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri kita pula berkata, BN memandang berat kenyataan Anwar itu.

Apakah sebenarnya yang berlaku?

Kalau ia sekadar mainan politik, ini bermakna Anwar telah menunjukkan sikapnya yang bertentangan dengan nilai demokratik yang dicanangnya. Malah, beliau sendiri telah menampakkan kegilaannya pada kuasa.

Bahkan, sebahagian kita sudah mempercayai bahawa bekas TPM itu yang memusatkan usaha untuk memujuk ahli Parlimen BN supaya beralih menyokong beliau. Kalau beliau menghormati keputusan pilihan raya, rasanya lebih elok kalau tunggu sahaja sehingga pilihan raya akan datang.

Namun, kalau benar ia berlaku, BN terpaksa melihat ruang krisis baru. Sebelum ini, BN berkrisis dengan sokongan rakyat dan rasa tidak puas hati di kalangan ahli UMNO. Kalau transisi ini benar-benar berlaku, krisis kepercayaan ahli Parlimen terhadap PM akan terlihat.

Menteri Pelajaran, ketika mengulas kenyataan Anwar, berkata kalau ramalan bekas TPM itu tidak benar, maka kredibiliti 'tuan punya badan akan tercalar (lapor Sinar Harian semalam). Akan tetapi, kalaulah ramalan itu benar, imej BN khususnya PM akan lebih tercalar. Ini lebih ditakuti.

Dan lagi, kalaulah transisi benar-benar berlaku, apakah faktor sebenar ahli Parlimen terbabit bertindak demikian (lompat parti)?

Kiriman asal

Bekas Timbalan Setiausaha Agung Parti Gerakan, Datuk Lee Kah Choon sudah meninggalkan parti itu setelah menerima tawaran dua jawatan utama dalam Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan invest-Penang Berhad (di bawah kerajaan negeri DAP-PKR).

Dan, desas-desus tergempar datang daripada Anwar Ibrahim: Ahli Parlimen Sabah akan lompat parti (ke Pakatan Rakyat) selewat-lewatnya pertengahan September ini!

Kalaulah benar, kebarangkalian Malaysia untuk melakar sejarah besar akan berlaku apabila isteri Anwar menawarkan diri untuk menjadi PM. Wanita pertama. Laporan boleh dilihat di sini.

Bagaimanapun, BN menafikan kenyataan itu. Sebaliknya, kata Menteri Penerangan, ahli Parlimen pembangkang yang akan lompat parti ekoran ketegangan isu penternakan babi di Selangor.

Kita yang tidak duduk dalam lingkungan peristiwa ini, tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.

Manakala Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyelar usaha beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, khususnya Anwar, memujuk ahli Parlimen untuk menyertai Pakatan Rakyat, yang disifatkan oleh parti itu sebagai tidak demokratik.

"Rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah kerajaan yang ditadbir oleh parti politik yang berprinsip yang benar-benar mendapat mandat..., bukannya sebuah kerajaan yang ditubuhkan secara pintas dan segera dengan melakukan tindakan seolah rampasan kuasa dari pintu belakang," kata Presidennya, Hassan Abdul Karim, memetik laporan Malaysia Kini, semalam.

Jumaat, April 18, 2008

Pemuda, Anak Muda dan muda-mudi VI

4 Februari 1951, Samad Idris daripada Perikatan UMNO Kuala Pilah menyarankan slogan parti itu diubah daripada "Hidup Melayu" kepada "Merdeka".

Bulan berikutnya, dalam Mesyuarat Agung UMNO di Kuala Lumpur pada 24-25 Mac, Perikatan Pemuda telah mewakilkan Gharieb Raof (Pemuda Johor) untuk menyampaikan usul mengubah slogan tersebut.

Perwakilan (selain Pemuda) menentang usul tersebut. Antara penentangnya, termasuklah Yang Dipertua UMNO sendiri, Dato' Onn Jaafar - yang lain seperti C.M. Yusof dan Raja Ayub Raja Haji Bot. Usul itu dikatakan begitu hangat didebatkan.

Gharieb tetap mempertahankan usul Pemuda tersebut, sehinggalah satu undi sulit diadakan. Daripada 69 perwakilan yang hadir dalam mesyuarat itu, 34 setuju, 23 menentang manakala dua lagi tidak mengundi.

Nah, inilah antara sikap agresif yang ditunjukkan Pemuda pada waktu itu. Gelombang progresif pemuda, yang ketika itu di bawah pimpinan Dato' Abdul Razak telah berubah berbanding corak konvensional sebelumnya (pimpinan Kapten Hussein Onn) yang dilihat lebih menuruti kehendak pimpinan ayahnya (Onn Jaafar).

Kesannya, ramai ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang sebelum itu menentang kuat UMNO, telah bertukar parti kepada UMNO. Antaranya, Abdul Ghafar Baba, Mustafa Hussein, Abdul Rahman Talib dan Ibrahim Fikri.

Hari ini?

Corak bagaimanakah yang perlu ditonjolkan Pemuda untuk menarik anak muda menyertai parti itu, atau menyokongnya?

Selasa, April 15, 2008

Politik kasih sayang - Dr Asyraf

Parlimen Tumpat menyaksikan pertembungan dua calon berlainan generasi dalam pilihan raya tempoh hari. BN menampilkan calon muda, Dr Asyraf Wajdi Dusuki (27,337 undi), tewas kepada calon Pas, Dato' Hj Kamaruddin Jaafar (36,714 undi).

Dr Asyraf merupakan bekas Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 1999-2001, sebuah pertubuhan pelajar yang dilabel berhaluan kiri (dalam politik kampus). Latar belakang beliau boleh dibaca di sini.

Semalam saya bertemu beliau di ibu kota dan sempat bertanyakan beberapa soalan:

Penyertaan Dr dalam Umno mendapat kritikan daripada kelompok pelajar (dan bekas pelajar) berhaluan kiri, hingga ada yang menganggap Dr sebagai petualang kerana lari daripada haluan perjuangan. Komen Dr?

Mahasiswa jangan terikat dengan mana-mana parti. Maksudnya, kita tidak terikat dengan belenggu partisan. Mahasiswa kena objektif, berjuang atas dasar kebenaran dan keadilan. Yang betul, kita kata betul. Yang salah , kita kata salah. Itu konsep Islam pun. Saya selalu sebut, jangan kerana kebencian kita pada sesuatu kaum, kita tak berlaku adil.

Sehingga hari ini saya masih pegang pada prinsip itu. Kalau tak betul, saya kata tak betul. Tapi kalau kritik, kita kritik secara hikmah, bijaksana, secara ilmiah. Tapi kalau terikat dengan cara partisan, jadi lain.

Maksudnya?

Cara parti ini, kalau betul ke salah, kita sokong parti. Kita macam taksub, assabiyah. Assabiyah bukan soal perjuangan bangsa. Orang kata UMNO assabiyah, kadang-kadang Pas pun lebih assabiyah daripada UMNO.

Assabiyah ini, bila seorang sahabat tanya Rasulullah, apa dia assabiyah - apabila kamu tolong saudara kamu dalam perbuatan zalim. Itulah assabiyah. Dia buat betul kata betul, dia buat salah pun kata betul.

Ketika dalam PKPIM, Dr boleh dikatakan pemimpin pelajar yang prolifik, kerap menulis. Kadangkala tulisan Dr dilihat lantang mengkritik. Sehingga hari ini, Dr masih dengan pendirian seperti itu?

Saya tetap bawa walaupun bukan pelajar. Macam saya kata tadi, yang benar kita kata benar, yang salah tetap salah. Tiada perubahan pun. Lihat artikel atau komen-komen saya di website saya. Cuma dulu platform saya di PKPIM, hari ini saya proUMNO.

Generasi muda perlu mempelopori idea politik baru yang bebas daripada elemen taksub, fanatik dan pemikiran yang melampau. Kita boleh bersuara berasaskan ilmu. Yang saya bawa, politik dakwah, politik kasih sayang.

Kalau kita bersikap dendam dan benci, selama-lamanya orang Islam dan Melayu tidak akan bersatu. Kita cuma berbeza parti, bukan berbeza akidah.

  • Untuk mengetahui lanjut perjalanan politik Dr Asyraf, khususnya penyertaan beliau dalam UMNO, layari laman blog beliau.
  • Laman peribadi beliau boleh dilawati di AsyrafWajdi.com
  • Untuk menonton klip video ceramah kempen pilihan raya beliau, klik di sini (penjelasan beliau berkenaan politik kasih sayang).

Sabtu, April 12, 2008

PM: Undur atau tidak?

Kemaskini (15 April, 2.50 am)

“Mengapa saya tidak harus bertanding sebagai Presiden, beritahu saya,” kata Abdullah, memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Abdullah mengumumkan beliau tidak akan berundur, atau menuruti desakan 'setengah pihak' (seperti yang didakwa beliau) supaya beliau meletakkan jawatan. Malah, beliau hanya akan berbincang tentang peralihan kuasa dengan timbalannya hanya selepas pemilihan parti pada Disember ini.

Laporan lanjut di sini.

Kiriman asal

Semalam PM mengakui bahawa beliau menjadi penyebab BN kehilangan majoriti dua pertiga undi dalam Parlimen. Ini satu kejujuran yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang.

PM juga membuat pengakuan jujur bahawa ada desakan di kalangan pemimpin UMNO bahagian di Kedah dan Pulau Pinang mahukan beliau melepaskan jawatan ekoran prestasi buruk parti itu dalam pilihan raya umum lepas.

Kemudian media tempatan hari ini melaporkan pendedahan Muhyiddin bahawa PM akan berbincang dengan Najib mengenai pelan peralihan kuasa kepada timbalannya itu. Maka kita menjangka seolah-olah akan berlaku satu peralihan kuasa dalam tampuk kerajaan mahupun parti UMNO.

Namun begitu, ia bukanlah petanda bahawa beliau akan berundur dalam masa terdekat ini.
"Buat masa ini, yang paling penting ialah saya bertanggungjawab memulihkan semula Umno dan BN kerana masih banyak perkara yang belum ditunaikan,"

"Saya mempunyai mandat daripada rakyat dalam pilihan raya lalu dan yakin dapat mengatasi masalah yang sedang melanda parti dan kerajaan. Saya juga tidak akan memimpin negara serta parti selama-lamanya dan ini sudah saya jelaskan," lapor Berita Harian hari ini.
Apatah lagi bila disokong dengan laporan-laporan sebegini:
Kalaulah PM terus berkeras tidak mahu berundur dalam masa terdekat ini (seperti yang didesak oleh sebahagian ahli UMNO) atau sehingga pemilihan Disember ini, maka tidak lain, perkara baik yang perlu dibuat ialah membantu beliau - walaupun terpaksa.

Cuma, saya sebagai seorang pengundi ingin bertanya kepada menantunya, Khairy - Apakah beliau mahu membuat pengakuan bahawa kemerosotan undi BN juga berpunca daripada beliau?

Dan, lihat juga laporan ini: Sikap angkuh pemimpin UMNO antara sebab BN hilang undi.

Rabu, April 09, 2008

Sabotaj, undi rosak: Analisis dangkal?

Laporan telah dikeluarkan berhubung tindakan sabotaj oleh ahli BN, berdasarkan jumlah undi rosak di kawasan-kawasan tertentu pilihan raya. Di bawah nanti ada senarainya.

Bagaimanapun, kita begitu sangsi dengan analisis seperti ini kerana keputusan pilihan raya 2004 juga boleh dikatakan ada sabotaj kalau mengikut hujah perkiraan undi rosak (antaranya):
  • Parlimen Sik: Undi rosak 1,287 (BN menang 319 majoriti), lebih banyak berbanding 2008 (505 undi)
  • DUN Jeneri: Undi rosak 280, lebih banyak berbanding 2008 (251 undi).
  • DUN Tanjong Dawai: Undi rosak 643, lebih banyak berbanding 2008 (618 undi)
  • DUN Bukit Payung: Undi rosak 152, lebih banyak berbanding 2008 (130 undi)
  • DUN Simpang Empat: Undi rosak 133, lebih banyak berbanding 2008 (82 undi)
  • DUN Maharani: Undi rosak 373, lebih banyak berbanding 2008 (354 undi)
Analisis ini (undi rosak dan sabotaj) dilihat sangat dangkal dan goyang.

(Takut ada yang bersoal: Adakah hanya untuk menyelamatkan populariti Pak Lah, maka ahli BN sendiri disasarkan sebagai kambing hitam?)

Kita boleh terima faktor sabotaj ini kalau hujah undi rosak tidak boleh disangkal. Kita kurang yakin atas sebab beberapa kawasan sabotaj yang dinyatakan di bawah, jumlah undi rosaknya tidak begitu jauh beza jika dibandingkan pada 2004, antaranya:
  • Parlimen Ketereh: 751 (900 undi rosak pada 2008)
  • Parlimen Padang Terap: 693 (770 pada 2008)
  • DUN Bukit Lada: 305 (395 pada 2008)
Sedikit peralihan jumlah undi rosak, bolehkah membuktikan ahli BN mensabotaj, sekaligus sebagai hujah BN kalah?

********************
Berikut merupakan kawasan pilihan raya yang dikatakan telah disabotaj oleh ahli BN berdasarkan perkiraan undi rosak:

Kedah
  • Parlimen Padang Terap: Undi rosak 770 (kalah 369 majoriti)
  • Parlimen Sik: Undi rosak 505 (kalah 481 majoriti )
  • DUN Bukit Lada: Undi rosak 395 (kalah 208 majoriti)
  • DUN Jeneri: Undi rosak 251 (kalah 169 majoriti)
  • DUN Tanjong Dawai: Undi rosak 618 (kalah 79 majoriti)
Perak
  • DUN Lubok Merbau: Undi rosak 150 (kalah 72 majoriti)
  • DUN Teja: Undi rosak 367 (kalah 175 majoriti)
Selangor
  • Parlimen Kuala Selangor: Undi rosak 894 (kalah 892 majoriti)
  • Parlimen Hulu Selangor: Undi rosak 1,466 (kalah 198 majoriti)
  • DUN Sekinchan: Undi rosak 317 (kalah 190 majoriti)
  • DUN Bukit Melawati: Undi rosak 484 (kalah 297 majoriti)
Terengganu
  • DUN Ladang: Undi rosak 285 (kalah 31 majoriti)
  • DUN Bukit Payung: Undi rosak 130 (kalah 115 majoriti)
Johor
  • Parlimen Bakri: Undi rosak1561 (kalah 722 majoriti)
  • DUN Maharani: Undi rosak 354 (kalah 158 majoriti)
Lain-lain
  • Parlimen Wangsa Maju (Kuala Lumpur): Undi rosak 357 (kalah 150 majoriti)
  • Parlimen Ketereh (Kelantan): Undi rosak 900 (kalah 400 majoriti)
  • Parlimen Kota Kinabalu (Sabah): Undi rosak 326 (kalah 106 majoriti)
  • DUN Ampangan (Negeri Sembilan): Undi rosak 236 (kalah 165 majoriti)
  • DUN Simpang Empat (Perlis): Undi rosak 82 (kalah 53 majoriti)

Isnin, April 07, 2008

What's the story, morning glory?

Marah bukan kepalang beberapa wakil UMNO Bahagian (Penerangan) yang menghadiri Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO di PWTC (semalam) - kerana ia hanyalah sekadar ucapan satu hala oleh Presiden parti.

Mereka menantikan sesi soal jawab (Q & A) bagi tujuan mendapatkan penjelasan (dan mungkin meluahkan rasa tidak senang terhadap Presiden) - tetapi majlis ditutup tanpa sesi berkenaan.

Dan akibat itu juga, saya mendengar berjenis-jenis hujah perbandingan antara daya vokal beliau dengan Presiden terdahulu. Antaranya:

1) "Tun, he's very classic. Biarlah orang kata Mahafiraun ke, apa ke, dia cool. Dia tak melatah, boleh jawab. Masa dia, kita tibai Q & A, no problem. Jawab punya. Pak Lah, dia melatah. Itu hari aku tengok Al-Jazeera, 4 pagi, a talk show and Pak Lah was there. Dia kena tibai, tapi tak cool lah. Dia melatah. Jawapan dia very offensive.

2) "Kalau dulu, masa Det, pukul 7 lebih orang dah berebut masuk dewan. Kalau dia bercakap, jarum jatuh pun boleh dengar. Nak kencing pun tahan, bagi dia habis cakap. Tapi yang ni (Pak Lah), orang keluar masuk dewan buat tak peduli. Ucapan dasar dia pun, tak faham apa, boring. Aku pun tidur!"
Saya tiada komen. Membuat perbandingan antara pemimpin merupakan satu kelakuan pasti di kalangan rakyat.

Cuma ada satu yang Pak Lah terlepas pandang semalam - apabila beliau membela Khairy Jamaluddin pada waktu sebahagian besar ahli UMNO 'membenci' menantunya itu. Kata Pak Lah, Khairy tidak mencampuri urusan kerajaan, "dia budak baik".

Pak Lah mungkin berjaya mengunci mulut ahli UMNO di depannya, tetapi mustahil dia mampu mengunci mulut ahli UMNO di belakangnya. Dan hari ini, mana-mana orang yang saya temui, mahu Pak Lah letak jawatan.

Jadi, bagaimana? (Hingga ada yang terpacul - Pak Lah mahu tunggu institusi raja campur tangankah?)

Sejauh mana beliau mampu mengembalikan semula kepercayaan ahli UMNO sendiri terhadap kepimpinannya?

*Foto dipetik dari Berita Harian
*Video di bawah milik The Star Online: Soalan buat Pak Lah, kenapa wujud sabotaj?

Khamis, April 03, 2008

Hishammuddin lepas jawatan Ketua Pemuda

(Kemaskini, 4 April 11.45 pm)

Dr Khir dan Mukhriz hampir pasti untuk bertanding. Berikut merupakan nama-nama yang telah dikaitkan bakal bertanding Ketua Pemuda:
  • Khairy Jamaluddin (akan membuat keputusan apabila mesyuarat bahagian bermula Oktober ini)
  • Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor (menafikan keinginannya bertanding)
  • Ketua Penerangan Pemuda, Datuk Azimi Daim (tunggu reaksi pucuk pimpinan sebelum membuat sebarang keputusan)
  • Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron (serah pada keputusan pergerakan)
  • Ketua Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin (bergantung kepada perkembangan politik semasa)
Jika benar Khairy ingin bertanding jawatan itu, perebutan jawatan Naib Pemuda dijangka akan menyaksikan pertandingan antara nama-nama berikut:
  • Ketua Pemuda Johor, Razali Ibrahim
  • Exco, Datuk Reezal Merican Naina Merican,
  • Ketua Pemuda Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman
  • Naib Ketua Pemuda Selangor, Faizal Abdullah
Satu lagi nama yang tidak popular juga berminat untuk menawarkan diri merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO, tetapi masih mencari borang keahlian UMNO. Beliau boleh ditemui di sini.

Kiriman asal


Hishammuddin telah pun mengumumkan kesediaannya untuk tidak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Disember ini.

Laporan penuh boleh dicapai di sini.

Walau bagaimanapun, beliau masih belum menyatakan jawatan apa yang akan ditandinginya pada pemilihan Disember ini.

Manakala itu, siapakah yang akan bertanding jawatan Ketua Pemuda? Dr Khir Toyo sudah umum kesediaannya bertanding. Mukhriz Mahathir juga berura-ura untuk berbuat demikian. Satu lagi nama (yang disebut-sebut bakal Perdana Menteri ketika umurnya 40 tahun) masih belum membuat sebarang kenyataan.

Apa akan jadi kalau beliau (KJ) benar-benar mahu bertanding?

Senget

Ada satu tanggapan aneh yang perlu diperbetulkan oleh sesetengah ahli UMNO berhubung kritikan ke atas parti itu - tidak semua pengkritik bermaksud untuk menyokong parti pembangkang.

Dan, adakah kritikan yang datang daripada ahli UMNO sendiri merupakan sesuatu yang taboo? Adakah jika berdaftar sebagai ahli UMNO, perlu menandatangani satu kontrak yang berbunyi begini (?):

"Dengan ini saya bersumpah janji tidak akan membantah sebarang kelakuan, perbuatan atau mana-mana kenyataan yang dibuat oleh para pemimpin dalam parti ini."

***********
Pak Lah sudah pun membuat kenyataan bahawa beliau tidak akan melepaskan jawatannya. Dan sekiranya benar beliau ingin meletakkan jawatan, satu lagi konflik besar akan timbul - siapa penggantinya.

Dengan itu, mungkin terdapat pembesar-pembesar sekelilingnya sedang giat berusaha demi menjadi pembesar kesayangan Pak Lah - barangkali boleh diangkat menggantinya. Antara usahanya, mengecam habis-habisan pengkritik-pengkritik (kepimpinan Pak Lah) di dalam UMNO.

***********
Dr Mohamad Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir sudah bersiap siaga untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO, manakala Hishamuddin masih berfikir-fikir sama ada ingin mengekalkan jawatannya atau tidak.

Pemuda diasak supaya melakukan reformasi, termasuklah pemegang jawatan tertinggi. Norzah Kepol, Ketua Pengarang Buletin Rakyat mengulas ringkas faktornya:
"Rakyat semakin meluat dengan pengurusan UMNO dan pendekatan politik pemimpin UMNO didakwa kaki mengampu.

Bukti rakyat meluat bila Hishammuddin diberi kepercayaan memastikan rakyat di Parlimen Permatang Pauh memberikan undi kepada BN PRU ke-12 lalu, (telah) memberikan undi besar kepada Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Termasuklah Khairy, beriya-iya dengan slogan ‘Pade doh’di Kelantan sehingga rakyat negeri ini memberikan kemenangan besar kepada PAS. Itu sebabnya rakyat menolak BN PRU ke-12."
Artikel penuh boleh dicapai di sini.

Selasa, April 01, 2008

Pilihan raya Pekembar

Beberapa hari belakangan ini, pembesar-pembesar UMNO sibuk membincangkan isu sistem kuota pencalonan dalam pemilihan jawatan (peringkat MT dan ke atas) parti itu.

Perlembagaan parti menetapkan mereka yang hendak bertanding jawatan Presiden mesti mendapat 30 peratus pencalonan daripada 191 Bahagian UMNO di seluruh negara manakala Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli Majlis Tertinggi sebanyak lima peratus.

Pagi tadi, Naib Presidennya, Muhyiddin Yassin menggesa pemimpin UMNO menghentikan debat berhubung pemansuhan sistem ini.

Dan pagi tadi juga, Satu forum anjuran MYKMU.net diadakan di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya - UMNO pasca Pilihan Raya Umum 12: Satu Penilaian yang menampilkan panelis:

1. Dr Mohamad Khir Toyo (Ahli MT UMNO)
2. Mukhriz Mahathir (Exco Pemuda Umno Malaysia)
3. Dr Puad Zarkashi (Ketua Penerangan UMNO Johor)

dan ucapan utama oleh Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri, kalau kita masih ingat).

Soalan pertama yang diajukan oleh peserta menyentuh isu ketelusan pemilihan jawatan dalam parti, dengan satu cadangan yang cukup menakutkan pembesar UMNO:
Mengapa pemilihan pucuk pimpinan parti (terutamanya Presiden) tidak diadakan secara terus melibatkan undi 3.2 juta ahli UMNO? Kenapa hanya melibatkan undi 191 wakil bahagian yang belum tentu dipersetujui ramai (bahkan telah dicaturkan)?
Ada beberapa fakta penting berhubung forum tadi:
  • Kesemua panel mahukan parti melakukan reformasi.
  • Hadirin yang sekitar 2000 orang pagi tadi juga mengasak agar Mukhriz dinaikkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda PEKEMBAR yang baru, juga mendesak agar Pak Lah meletakkan jawatan Presiden.
  • Dr Khir Toyo mengakui wujudnya campur tangan 'pihak lain' (selain Presiden, Timbalan Presiden dan beliau sendiri) dalam menentukan nama-nama calon BN di Selangor.
  • Hadirin amat berang apabila nama Anwar Ibrahim dicadangkan untuk menyertai semula UMNO dan memimpin parti itu.
  • Mahathir mengakui faktor utama kemerosotan undi BN disebabkan campur tangan Khairy Jamaluddin dan kelemahan kepimpinan Pak Lah. Seorang peserta menanyakan soalan berikut kepada Mahathir:
Apakah senjata yang digunakan oleh Khairy sehingga tiada seorang pun Ahli Majlis Tertinggi yang dapat menepisnya? Apa yang kuat sangat dengan senjata ini?

Kata Mahathir, beliau sendiri hairan kenapa menteri-menteri, malah ahli MT UMNO sendiri cukup takut dengan 'budak besar co'it' ini.
  • Ada soalan berbunyi seperti ini, "Adakah Timbalan Presiden, Najib Abd Razak layak menggantikan Pak Lah sekiranya benar jawatan Presidennya itu dikosongkan?" --- Jawab Mahathir, sekarang ini, beliau sudah 'menukar fikiran'.
  • Satu perhimpunan agung UMNO 'luar biasa' perlu diadakan bagi membincangkan kelemahan-kelemahan parti berhubung keputusan 'luar biasa' pilihan raya tempoh hari.
Manakala, saya sendiri tertanya-tanya, bagaimanakah bentuknya reformasi itu? Adakah dengan turunnya Pak Lah dan Khairy? Kalau ya, siapa pengganti yang layak? Atau dengan pembersihan sikap buruk pemimpin UMNO yang gila mengampu, kaki rasuah dan sebagainya? Bagaimana caranya?

Dan kata Mahathir lagi, sekiranya pakatan pembangkang yang menguasai 5 + 1 negeri (termasuk Kuala Lumpur) berjaya membuatkan rakyat gembira dengan pentadbiran mereka, apakah nasib UMNO selepas ini?


********************
Hari ini, pembangkang juga telah memperkuatkan barisan mereka dengan cubaan membentuk satu gabungan - Pakatan Rakyat - yang mungkin mirip Barisan Alternatif sebelum ini.

* Foto sumbangan Jasmine Ghazalli