Rabu, Mac 26, 2008

Pemuda, Anak Muda dan muda-mudi V

Jika semasa awal penubuhannya (PEKEMBAR) sehingga akhir 1950, Pergerakan Pemuda seolah-olah tidak berperanan dan hanya menurut tanpa bertindak akan apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti tetapi dalam era ini (1951-1970) mereka (Sardon Jubir dan Senu Abdul Rahman) telah berani mendesak dan mengkritik pucuk pimpinan parti dan kerajaan walaupun ianya dilakukan secara tidak terang-terangan.
Walau bagaimanapun semangat yang berkobar-kobar golongan Pemuda yang kadangkala mendahului badan induknya dalam memperjuangkan sesuatu isu telah dapat diredakan oleh Tun Sardon Jubir dan Tan Sri Senu Abdul Rahman.

Mereka telah berjaya mengelakkan berlakunya pertentangan dan perbalahan secara terbuka di antara Pemuda dan badan induknya melalui keakraban mereka dengan pucuk pimpinan terutamanya Tunku Abdul Rahman.

(Dipetik dari laman Pemuda UMNO Malaysia)

Hari ini, siapa yang mampu menafikan perbezaan heroisme Pemuda terdulu, dengan sekarang? Kalau dulu, mana-mana yang tidak kena dalam PEKEMBAR, kumpulan Pemuda yang mendepani teguran.

Hari ini, apa saja yang membolehkan Pemuda disukai pucuk pimpinan (khususnya Presiden), itulah yang didahulukan. Seolah-olah, tidak ada langsung yang tersilap. Semuanya sempurna

Malah, jika dari kalangan Pemuda sendiri yang cuba menegur pucuk pimpinan, pemimpin Pemuda sendiri yang beria-ia mahu 'membunuh' anak buahnya sendiri. Apa ini? Kita boleh lihat contoh terdekat ini,
Mukhriz dibidas, surat minta PM letak jawatan tak bertanggungjawab.
“Kita Pemuda UMNO akan ambil tindakan (terhadap Mukhriz) ikut saluran sedia ada. Bermakna kita tunggu mesyuarat Exco dahulu yang akan diadakan selepas pengumuman pembentukan Kabinet. Itu merupakan satu keputusan yang saya rasa realistik,” katanya.
Rata-rata kita tetap akan menyatakan bahawa si pemimpin Pemuda itu hanya pandai mengambil jalan selamat, sekaligus akan dituduh sebagai pengampu - kerana semahu-mahunya membela Presiden, sehingga cuba 'membunuh' anggotanya sendiri. Sepatutnya anak buah dibela.

Bagaimana pula dengan yang ini: Pemuda tidak merajuk. Ini juga boleh ditafsirkan sebagai mengampu Presiden, tetapi mengenepikan anak buah. Pemuda yang digugurkan daripada senarai calon pilihan raya, diberi amaran supaya jangan merajuk. Petikannya:
''Tiada istilah merajuk pada Pemuda dan saya telah memberi amaran kepada Ketua Pemuda negeri supaya calon yang tidak terpilih jangan sesekali merajuk atau memboikot kerja-kerja pilihan raya.

''Jika ada laporan yang mengatakan mereka berbuat demikian, percayalah pada 9 Mac nanti saya akan memecat mereka daripada Pemuda,'' tegasnya.

Hairanlah. Seyogianya, pemimpin itu perlu bersemangat membela. Setidaknya, buatlah tuntutan pada pucuk pimpinan (secara hemah), bukannya menurut saja kehendak mereka. Yang dilakukan adalah 'menentang' sendiri anak buahnya.

Masakan tidak orang akan tetap menuduh Pemuda sebagai kaki ampu? Bahkan, kelantangannya hanya pada:
  • Mereka (dalam atau luar parti) yang tidak sependapat dengan orang tertinggi PEKEMBAR
  • Tiada idea baru, tetapi hanya bermati-matian menyokong saranan orang tertinggi
  • Kenyataan yang menyelamatkan diri

Dan lagi, budaya ini saling tak tumpah seperti kelakuan pasukan sorak sukan (cheerleaders) - P.A.K.L.A.H, go go go!

Pemuda harus membela PEKEMBAR, bukan semata-mata pemimpinnya. Berbuih-buih orang mengatakan, fungsi orang muda ialah memeriksa dan menyeimbangkan (check and balance).

Susahlah kalau Pemuda No 1 gagal, yang No 2 pula terikat dengan tali kekeluargaan. Yang nombor-nombor seterusnya pula dibungkam oleh pemimpin mereka sendiri!

Maka, tidak menjadi keanehan sekiranya peranan Pemuda yang wajar, diambil alih oleh pembangkang - seterusnya anak-anak muda berhimpun di situ.

Auwwww, ku!!!

Dendangan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) berkumandang sekali lagi. Ini merupakan isu wajib yang berbangkit setiap tahun - yang berlangsung sekian lama.

Apabila Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang dilabel haluan kiri membangkitkannya di media baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi yang baru, cepat-cepat ambil berat. Soal yang sama - mansuh atau pinda (khususnya Seksyen 15, melibatkan kebebasan berpolitik).

Maka kementerian terbabit turut mencadangkan agar akta ini digubal.

Untuk seksyen 15, yang didakwa menyekat, menakut-nakutkan pelajar dan membantutkan pemikiran pelajar, sebenarnya tidak pun dikuatkuasakan. Habis dahsyat, pelajar hanya diheret ke tribunal dan tiada hukuman pun disabitkan. Kalau ada, ditarik semula.

Birokrat universiti sebenarnya tidak mempunyai keberanian untuk menguat kuasakan seksyen ini. Buktinya, pelajar masih bebas melanggar seksyen itu, bahkan yang lebih ketat - Kaedah Tatatertib Universiti - semacam tidak pernah diamalkan dalam Perlembagaan Universiti.

Pinda atau tidak, tiada bezanya.

Apa yang perlu diubah?

Budaya yang diagihkan kepada pelajar oleh pihak yang memegang kuasa dalam universiti. Dalam tulisan terdahulu, saya ada mengulas beberapa siri pembudayaan di universiti berhubung kepraktisan politik oleh birokrat dan pelajar (siri I-IV), yang ada kaitannya dengan isu ini.

Masalahnya ialah, birokrat terlalu mahu pelajar mengikut budaya yang dianjurkan mereka - tanpa memberi ruang yang luas atau membantu pelajar meneroka budaya yang berbeza. Sukar untuk mengharap pelajar berinisiatif menghimpun pengalaman sendiri. Jadi, peranan birokrat ialah menggalak pelajar menghimpun pengalaman sendiri - yang bukan semata-mata aktiviti lazim (Program Anak Angkat, Bantuan Mangsa Bencana, Forum Perdana) - tetapi yang pantas mematangkan mereka.

Bawalah pelajar menceburi dunia aktivisme sosial atau yang lain - yang sangat membantu pelajar berfikiran kritikal.

(Kita berharap agar cadangan kementerian disambut 'berani' oleh birokrat universiti, bukan disambut 'ampu'. Manakala Majlis Perwakilan Pelajar yang condong berhaluan kanan itu, saling tak tumpah seperti Pemuda)

Isnin, Mac 24, 2008

Pemuda, Anak Muda dan muda-mudi IV

Akan perihalnya tentang istilah-istilah dalam tajuk di atas, saya maksudkan begini:
  • Pemuda: Kelompok muda yang menjadi politikus PEKEMBAR
  • Anak Muda: Kelompok muda yang terlibat dalam aktivisme, intelektualisme, idealisme serta lain-lain bentuk 'kecerahan'.
  • Muda-mudi: Kelompok muda yang tidak mengambil pusing kedua-dua keterlibatan kelompok di atas.
Soalan yang pernah saya lontarkan sebelum ini - kenapa anak muda pembangkang lebih beridealisme berbanding Pemuda?

Ada satu aliran pada anak muda yang kurang disedari atau diendahkan Pemuda, iaitu mereka beraliran bukan konvensional. Anak muda tidak menggemari hal-hal yang klise, mengikut norma atau piawaian tertentu dan paksaan - ertinya mahukan kelainan atau pembaharuan.

Anak muda juga gemar mengajukan soalan, kritikan, meluahkan emosi dan rasa ingin tahu serta amat tidak selesa dengan salah laku politik.

Jika dilihat, Pemuda gagal menyediakan ruang untuk kelompok ini.

Siapa di antara Pemuda yang mempunyai pengetahuan dan masa yang cukup untuk menjawab soalan-soalan berupa kritik sosial atau falsafah? Atau adakah terdapat anggotanya yang menampakkan kecenderungan dalam perbahasan ilmu, atau apa sahaja hal-hal 'berat' yang dibangkitkan oleh anak muda?

Sayangnya, tindak balas yang ditunjukkan Pemuda sangat menjengkelkan anak muda. Antaranya:
  • Pendapat dipandang lewa, sebaliknya mahu anak muda mendengar dan mengikut kata mereka.
  • Ego dan berwatak elitis. Mereka mahu dihormati secara drastik, menetapkan sempadan ego yang tinggi (status politik) dan tidak bersikap empatik (mendalami jiwa anak muda). Yang ini ada diulas ringkas dalam siri I.
  • Gagal membekalkan anak muda dengan hujah yang baik. Alih-alih, hal yang sama diucapkan oleh orang lain yang sudah klise dan langsung tidak menampakkan usaha pemusatan fikir.
  • Tidak menunjukkan teladan, seperti yang digambarkan anak muda (hero, pejuang, marhaenis).
Dan soalan lagi, siapakah di kalangan Pemuda yang menjadi ikon atau ikutan anak muda? Kalau dulu ada ramai, awal-awal zaman PEKEMBAR - malah tidak jatuh hebatnya berbanding anak muda berhaluan kiri.

Anak muda hari ini mahukan ruang dan tercari-cari lubuk pemuasnya - seperti kelkatu mencari cahaya. Sebab itulah anak muda pembangkang lebih beridealisme, sebab di situ mereka dilayan dan dipuaskan.

Maka berduyun-duyunlah kelkatu menuju ke lampu itu - berduyun-duyunlah undi BN hilang!

Khamis, Mac 20, 2008

Ibu Pekembar

Dalam kebanyakan sayap pergerakan dalam PEKEMBAR, yang mana cukup setia dan kuat bekerja? Saya akan jawab - Wanita.

Kenapa?

Kalau anda rajin meneliti gerak-geri Wanita PEKEMBAR, didapati, jumlah hadirin merekalah yang teramai dalam satu-satu majlis. Kalau masa pilihan raya, mereka yang sangat berdisiplin dan konsisten melaksanakan tugasnya.

Kebanyakan Wanita PEKEMBAR tidak banyak menghamburkan retorik - dan yang paling ketara, Wanita yang bukan dalam kelompok elit inilah yang paling bersungguh-sungguh dan bersetia dalam PEKEMBAR.

Mari namakan mereka sebagai Ibu PEKEMBAR, kerana kasih sayang mereka dalam PEKEMBAR persis hubungan ibu-anak (juga menyingkap nostalgia Pergerakan Kaum Ibu PEKEMBAR sebelum ditukar menjadi Wanita).

(Tulisan ini tiada kena-mengena dengan usaha mengambil hati ibu mertua)

Pemuda, Anak Muda dan muda-mudi III

Sudah menjadi kelaziman, bahawa anak muda sangat ingin diberi perhatian sama ada pendapatnya ingin didengar atau dihargai - benar ataupun tidak.

Tetapi di dalam PEKEMBAR, anak muda sukar untuk mencipta peluang sebegini kalau tidak kena pada budayanya. Hari ini, anak muda yang beridealisme atau sering bercanggah pendapat dengan pucuk pimpinan, sukar untuk mendapat tempat di dalam PEKEMBAR. Anak muda yang lantang menyatakan pendapat sering dianggap penentang, bahkan dituduh cuba merosakkan perpaduan.

Hari ini, anak muda yang mahu bercakap tentang Alif (agama) Ba (bangsa) Ta (tanah air) - yang menjadi landasan PEKEMBAR itu - tidak akan diangkat sebagai pemimpin mereka. Mengapa? Sebabnya, anak muda sebegini tidak sealiran, malah bertentangan dengan budaya dominan Pemuda.

Hari ini, sana-sini, orang semakin bersetuju dengan hujah, "Untuk menjadi ahli politik di dalam PEKEMBAR, mesti ada kekayaan (material). Pemuda, yang fungsinya untuk memperbaiki atau memperbaharui budaya, turut sama termakan hujah ini.

Budaya inilah (materialistik) yang mendominasi Pemuda. Jadi, sebelum anak muda boleh menyatakan pendapat, ukuran pertama untuk pendapatnya didengari ialah prestij (kekayaan dan kemampuan material).

Katakan, Khairy Jamaluddin merupakan seorang peniaga kedai runcit yang tidak ada apa-apa hubungan dengan Perdana Menteri - apa agaknya status beliau dalam PEKEMBAR hari ini?

Dan bukanlah maksudnya usaha mencari kekayaan itu dinafikan, tetapi menunggang PEKEMBAR untuk mencari kekayaan itulah yang mengecewakan. Kerana itu, sedar atau tidak, bersepah-sepah Pemuda mengangkat pemimpin dari kalangan yang 'berkemampuan untuk mendatangkan kekayaan' kepada mereka.

Kata sahabat saya dalam blognya, punca keterukan yang dialami PEKEMBAR ialah apabila golongan muda 'kehilangan roh'. Sila lawat di sini.

(Hari ini, kita sukar untuk menemukan pejuang PEKEMBAR berbanding politikus PEKEMBAR. Maka, sebab itulah ramai anak muda menyasar ke parti pembangkang, yang dilihat mereka lebih berupa perjuangan pada zahirnya)

Mohon ampun dan marilah berselawat.

Ahad, Mac 16, 2008

Pemuda, Anak Muda dan muda-mudi II

Hari ini, Utusan Mingguan melaporkan tekad Pemuda untuk mengatasi kelemahan parti. Sila lihat laporan ini.

Untuk itu, silalah berkunjung ke blog ini untuk menemukan beberapa kenyataan masalah berhubung kelemahan yang dimaksudkan (syaratnya jangan melatah).

Antaranya ialah, persoalan kenapa Pemuda gagal menerap rasa nasionalisme (seperti yang diseru dalam PEKEMBAR) ke atas anak muda (khususnya muda-mudi)? Ini jawab saya dengan ringkas:

Pemuda itu sendiri gagal menonjolkan yang dia seorang nasionalis. Bahkan, anak-anak muda yang punyai rasa ingin menjadi nasionalis, apabila mendekati PEKEMBAR, cukup payah untuk menyemarakkan rasa kebangsaan dalam diri mereka - adakah kerana sukarnya anak muda dapat bertemu dengan nasionalis sejati dalam PEKEMBAR?

Perkara ini kerap kali dihamburkan oleh Pemuda, berdegar-degar dalam Perhimpunan Agung, tetapi tidak ada perbezaan. Malah, ia menjadi klise. Berulang-ulang kita akan temui istilah-istilah ini diucap ramai Pemuda: "Perjuangan", "Semangat Melayu", Jaga Alif Ba Ta".

Yang peliknya, kenapa anak-anak muda jadi meluat mendengarnya?

Mungkin contoh ini boleh menjawab soal di atas, sekaligus menjadi 'guru' peringatan:
Shahidan sedia tidak dilantik Menteri Besar
31/01/2008 6:52pm

KUALA LUMPUR 31 Jan. - Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bersedia menerima apa sahaja keputusan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) termasuk tidak dilantik semula ke jawatan yang disandang sekarang.

Menurutnya, jawatan bukan perkara utama kerana tumpuannya kini ialah berjuang untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Atas faktor tersebut, katanya, beliau bersedia menghadapi sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan usahanya itu sama ada musuh atau kawan.

"Tiada masalah, tidak jadi Menteri Besar pun tidak apa, tidak jadi calon pun tidak apa kerana saya tetap akan pastikan parti saya menang,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Belia Negara 2007 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini. - Utusan

Tetapi, hari ini, Perlis masih bergolak dengan isu perlantikan itu. Sila lihat laporan ini. Shahidan tidak diperkenan istana, dan mahukan yang lain. Berlakulah konflik bantahan.

Maka, kelakuan yang tidak selari dengan percakapan inilah antara faktor kenapa PEKEMBAR gagal mendidik rasa kebangsaan ke atas anak-anak muda. Anak-anak muda sudah muak dengan retorik "Hidup Melayu" yang diucapkan oleh mereka yang tidak mempunyai 'roh Melayu' - tidak pun membuktikan sebarang artikulasi lisannya dengan perbuatan yang menggayakan lagak nasionalis.

Untuk itu, soalan yang perlu dijawab oleh Pemuda PEKEMBAR ialah - di mana anak-anak muda dapat berkumpul untuk menyatakan rasa cinta Alif Ba Ta itu?

(Bila anak muda sudah mulai hilang kepercayaan terhadap Pemuda - maka bersedialah untuk berhadapan dengan kesan-kesan liberalisasi ke atas anak muda - Keputusan Pilihan Raya Umum 2008)

Jumaat, Mac 14, 2008

Pemuda, anak muda dan muda-mudi I

Parti-parti politik di Malaysia, masing-masing mempunyai budaya tersendiri dalam mendekati anak muda. Dalam kebanyakan parti politik itu, saya lihat PEKEMBAR yang paling jauh dengan jiwa anak muda.

Mengapa? Elitisme.

Cuba kita perhatikan bagaimana program-program untuk anak muda dilaksanakan, khususnya ragam penglibatan serta percampurannya. Program ilmu misalnya, berbentuk sangat konvensional, rasmi dan penuh protokol.

Dan program ini banyak dijalankan hanya pada waktu dan ruang yang khusus, tidak dilazimkan sebagai kegiatan harian. Misalnya, untuk berdiskusi, perlu ada satu program berprotokol (dengan pakaian dan kelakuan berpiawaian) - dan bahang diskusi tamat apabila program tamat. Yang dibudayakan, bukanlah ilmu tetapi elitisme (perencanaan program).

Cuba perhatikan bagaimana PKR mendekati anak muda. Ada komuniti 'teh tarik tersendiri' yang melibatkan percampuran pemimpin mudanya dengan anak-anak muda. Di meja restoran mamak ini, mereka berdiskusi dan menikmati budaya ilmu - dalam ruang yang longgar dan tidak elit. Ia berlaku tanpa ada perencanaan program khusus (formal), sebaliknya berkonsep seperti 'kawan lepak dengan kawan'.

Yang ini tidak mewujudkan perasaan elit, tiada sempadan egoisme antara pemimpin dengan anak muda - bahkan ia menjadi sebati dengan kegiatan lazim anak muda itu.

Kalau pemimpin pemuda PEKEMBAR (khususnya di bandar), kita hanya dapat berbuat demikian dengan segelintir yang berjawatan paling tinggi pun, ketua pemuda cawangan - itupun sebulan sekali mungkin. Adalah juga yang lain-lain, tetapi amat sukar ditemui. Hubungan yang terbentuk, bukanlah sebagai rakan, atau 'guru', tetapi tetap hubungan elit politik.

Yang lain, perlu ada jamuan Hi Tea atau jemputan terhormat melalui surat rasmi. Kaedah yang menggugat status elit, payah sekali untuk diterima (misalnya sms). Bagaimana anak muda ingin mendekati PEKEMBAR jika jelas sekali jurang intimasinya dengan pemimpin muda?

Anak-anak muda 'dipaksa' berbudaya elit malah dibendung kemahuan-kemahuan sebenar yang bersifat longgar (berforum sambil berseluar jeans lusuh, berkomunikasi tanpa ada halangan status sosial, bebas menyatakan pendapat, terbuka dan kurang rigid terhadap norma).

Lihat pula program untuk Mat Rempit, berjalan hanya pada waktu-waktu tertentu tanpa ada keintiman dengan mereka. Bagaimana seorang Pemuda PEKEMBAR yang hidupnya begitu elit dan tidak tahu menahu tentang istilah 'korek block', wikang atau cicir lima tiang, mahu merawat sosial kelompok ini?

Pernah duduk memerhati bagaimana mereka berlumba? Pernah lepak-lepak minum dengan mereka? Pernah berbual bersama mereka bercakap tentang gaya hidup Mat Rempit? Yang dilihat, tidak ada keintiman dengan anak muda - dan tidak ada 'rasa berkesatuan' dengan anak muda.

(Dalam bahagian-bahagian berikutnya, saya cuba menjawab beberapa soalan berikut:
  • Kenapa ada pembangkang muda dalam PEKEMBAR?
  • Kenapa pemimpin muda PEKEMBAR gagal me'nasionalisme'kan anak muda?
  • Kenapa amat sedikit intelektual muda (mungkin tiada) dalam PEKEMBAR?
  • Kenapa anak muda pembangkang lebih idealisme berbanding pemuda PEKEMBAR?
  • Apa beza kaedah pendekatan yang digunakan antara pembangkang dengan PEKEMBAR terhadap anak muda?)
  • Elitisme, egoisme dan estim diri: PEKEMBAR melayan anak muda atau mahu dilayan?
Maka hasilnya: keputusan Pilihan Raya Umum 2008.

Isnin, Mac 10, 2008

Politik populariti

Setakat ini, peratusan undi popular yang terendah diterima oleh BN ialah pada pilihan raya 10 Mei 1969, iaitu sebanyak 49.3 peratus. Saya senaraikan peratusan undi popular yang diraih BN di bawah ini:

1959 (51.78%), 1964 (58.37%), 1969 (49.3%), 1974 (60.7%), 1978 (57.2%), 1982 (60.5%), 1986 (57.3%), 1990 (52%), 1995 (63.2%), 1999 (56.3%) dan 2004 (63.68%). Selepas Perikatan digantikan dengan BN, pilihan raya 2008 mencatatkan parti itu mendapat undi popular terendah iaitu 50.28 peratus daripada lebih 8.1 juta undi.

Rakyat yang mengundi telah mencerminkan beberapa faktor kemerosotan undi popular BN. Antara yang saya dengari dari mulut kebanyakan pengundi di Selangor (N42 Meru):

1. Kenaikan harga petrol (dan komoditi lain yang menerima kesan).
2. Tidak merasai hasil atau kesenangan yang nyata melalui dasar yang dibawa oleh kerajaan BN.

Dasar yang dimaksudkan ialah Islam Hadhari, Pembangunan Modal Insan, Pelan Integriti Nasional serta beberapa yang lain sepertinya, termasuk beberapa dasar pembangunan koridor wilayah. Pengundi tidak mahu bersusah payah untuk berfikir apa keistimewaannya, tetapi mahu langsung menikmati hasil yang nyata (material).

Misalnya, mereka bersoal, "Kata tiada duit untuk bagi subsidi minyak, yang berbillion-billion habis untuk koridor?" (Ada banyak lagi belanja yang disalurkan untuk dasar di atas, tetapi menurut mereka, tidak membawa keuntungan material)

Begitu juga dengan persepsi atau terjemahan mereka terhadap dasar Islam Hadhari - apa yang dipandang hanyalah titik-titik kecil, seperti cara berpakaian (tutup aurat) dan lain-lain hal material - tanpa mempedulikan hal-hal lain secara holistik.

Kita tidak tahu resmi manusia - tetapi hal-hal negatif lebih memberi kesan (lebih mudah dan besar dilihat) berbanding yang positif, lebih-lebih lagi yang dirasai sendiri.

Jadi, barisan Kerajaan Persekutuan untuk tempoh bermula hari ini sehingga pilihan raya yang ke-13, perlu melakukan beberapa perkara untuk mengembalikan populariti, berdasarkan faktor tadi:
  • Memenangi hati pengundi dengan 'dasar' yang menampakkan hasil nyata (tidak menaikkan harga petrol, tol dan lain-lain barangan)*
  • Mengelak daripada memperkenalkan dasar seperti di atas (yang tidak dapat dilihat pengundi) pada saat-saat menjelang pilihan raya
  • Menyelesaikan isu setempat dengan segera (di Shah Alam, antara yang menjadi faktor pengundi tolak BN ialah masalah banjir yang tak selesai). Indeks Prestasi Wakil Rakyat tidak dipedulikan pengundi, tetapi penyelesaian isu yang diperlukan.
  • Tidak turun padang hanya pada menjelangnya pilihan raya.
BN boleh memilih untuk meneruskan dasar yang hanya mampu diterjemahkan keuntungannya oleh golongan inteligensia atau pakar, tetapi perlu bersedia untuk menghadapi cemuhan pengundi yang tidak memahaminya.

* Pengundi dari golongan peniaga (khususnya Cina) yang ditemui, merungut-rungut dengan kenaikan kos.

Rabu, Mac 05, 2008

Demokrasi berkeadilan

Saya sedang mempelajari pengertian demokrasi, dan masih lagi samar-samar dengan ideologi itu. Biasa yang kita perhatikan, demokrasi itu dilihat condong untuk yang berhaluan kiri.

Soalnya, yang berhaluan kanan itu (walaupun bukan pemegang kuasa) tidak berpeluangkah untuk mengkritik (dalam ruang demokrasi)?

Hari ini, seorang 'pejuang demokrasi', Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim telah mengarahkan peguamnya memfailkan saman fitnah ke atas Khairy Jamaluddin (sejumlah RM100 juta) dan Dr Chandra Muzaffar (sejumlah RM10 juta) berhubung kenyataan mereka mengenai Anwar.

Laporan dipetik dari sumber MalaysiaKini.

Khairy dalam ceramahnya di Lembah Pantai 20 Februari lalu, 'memalukan' Anwar dengan membawa tanggapan penonton bahawa Anwar seorang homoseksual, bermoral renda dan tidak mengamalkan nilai-nilai Islam.

Chandra dalam kenyataannya kepada media, mengajak pembaca membayangkan Anwar telah meniupkan api perkauman. Lihat di sini. Kenyataan Chandra itu kemudiannya dipanjangkan oleh politikus-politikus lain, juga termasuk bekas rakan karib Anwar, S. Nallakarruppan.

Lihat juga:
Anwar mengambil tindakan untuk menyaman kedua-dua mereka - yang dilihat (sudut politik) sebagai satu usaha bagi membuktikan bahawa dua pengkritik itu benar-benar salah dan memfitnah, sekaligus menyangkal segala kenyataan ke atas beliau. Dengan menolak strategi politik yang dimainkan oleh Anwar (yang sedia diketahui, seorang yang berkarisma dan licik), ada satu persoalan yang timbul.

Yang mana satu lebih demokratik? Mengkritik Anwar atau menyaman si pengkritik?

Hati + Mata = Ramalan

Ada dua cakap-cakap berhubung keputusan pilihan raya yang saya kira menarik perhatian, iaitu:
  • PRU 12: DAP pemenang paling besar - Dari blog Teratak Kembara oleh Norizan Sharif. DAP menang kerusi Parlimen sekitar 25 kerusi, PAS 5 kerusi, manakala PKR gagal (termasuk di Permatang Pauh). Hujahnya, perjuangan DAP sangat konsisten.
  • 70 peratus pengundi sudah buat keputusan awal - Dr Siva Murugan (pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia) dari sumber Mstar Online. Separuh daripada jumlah ini menyokong kerajaan, manakala separuh lagi penyokong pembangkang. 30 peratus baki pemilih merupakan pengundi atas pagar.
Saya tidak pandai meramal, tetapi berdasarkan hujah tiadanya perpecahan kritikal di dalam UMNO, maka BN akan menang lebih 83 peratus kerusi Parlimen.

Isnin, Mac 03, 2008

Sinikal wal sarkastik

Dari ulat jadi kepompong,
tidur-tidur dalam kepompong.
Cukup masa kepompong pecah,
jadi rama-rama yang indah.

Akibat mual dengan pembadutan yang dilakukan oleh politikus-politikus, maka sekumpulan bloggers telah menubuhkan satu parti tidak rasmi yang dinamakan Parti Undi Rosak (Pundak).

Laman mereka boleh dilawati di sini.


Kita akan bertemu dengan sindiran mereka terhadap parti-parti politik, termasuklah ke atas manifesto dan dasar yang dicanang oleh parti-parti itu menjelang pilihan raya. Mereka melihat manifesto yang dicanang tidak realistik, baik daripada BN mahupun pembangkang.

Saya mahu mengulas sedikit berhubung manifesto. Pembangkang telah membuat kenyataan terbuka bahawa mereka tidak akan menang dalam pilihan raya kali ini. Maka, usaha mereka diberatkan ke arah mengurangkan majoriti dua pertiga BN.

Untuk itu, manifesto yang dicanang perlulah bersifat retorik, indah-indah dan berdaya pengaruh - walaupun mereka sendiri sedar ia sekadar utopia dan tidak mampu dilaksanakan.

Bagaimanapun, Pundak menjadikan ia sebagai satu bahan sindir.
Idea-idea dan dasar-dasar PUNDAK akan dibentangkan dengan menggunakan sistem Kabinet Olok-Olok (Shadow Cabinet), bukan seperti dasar-dasar Parti Pembangkang lain di Malaysia yang setahu kami, tidak berdasar langsung.
Sindiran ke atas BN pula:
Oleh itu, untuk mendapat sokongan anda semua, PUNDAK berjanji akan mengemukakan dasar-dasar yang jauh lebih bodoh daripada dasar-dasar bodoh BN.
Secara sarkastik dan berjenaka, mereka memperkenalkan pula dasar-dasar Pundak - boleh dibaca di sini.