Khamis, Februari 28, 2008

I am my father's son!

Walaupun disebut berkaedah demokrasi, unsur oligarki (secara tak langsung berdasarkan pengaruh) masih diamalkan dalam sistem politik paling popular ini. Misalnya di Malaysia, kita dapat menemukan anak-anak kepada pemimpin politik menjejak legasi bapanya.

Najib-Razak, Hishamudin-Hussein-Onn, Guan Eng-Kit Siang, Mukhriz-Mahathir, Nurul Izzah-Anwar+Wan Azizah, Mujahid-Yusof, Sulaiman-Taib, Hee Leong-Liong Sik, Gobind-Karpal, Tee Leong-Soi Lek, Khairy-Abdullah dan ramai lagi, masing-masing menampakkan pengaruh kekeluargaan.

Utusan Malaysia sebelum ini ada menyiarkan laporan berkaitan: Anak ganti bapa budaya politik Malaysia.

Sebentar tadi, seorang rakan mengajukan pertanyaan berikut:

Apa perkembangan politik anak-anak pemimpin (juga pejuang) zaman sebelum dan pra kemerdekaan seperti Dr Ismail, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob, Rahman Talib, Sardon Zubir, Senu Abdul Rahman, Pak Sako, Tunku Abdul Rahman dan seangkatan mereka?

Dan apa cerita pula dengan anak-anak perintis/veteran UMNO seperti Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab, Zulkifli Hashim, Khir Johari, Hamzah Abdullah, Za'ba, Nik Ahmad Kamil - yang sebahagian mereka merupakan pelakar draf piagam untuk perlembagaan parti itu?

Selasa, Februari 26, 2008

PMN: All you need is just a little patience...

Tidak ada calon Parti Mahasiswa Negara (PMN) yang bertanding. Gegak-gempita yang kononnya Pak Lah akan dicabar di Parlimen Kepala Batas, Tok Pa di Jeli dan Hishamudin di Sembrong - sudah layak diistilahkan dengan kata 'gimik'.

Yang paling hampir bertanding pun, Zainulfaqar Yaacob, (si aktivis kampus yang sangat tinggi rembesan adrenalinnya) di Kepala Batas. Punca gagalnya Zainulfaqar bertanding, menurut HarakahDaily kelmarin, disebabkan beliau dihalang polis daripada memasuki dewan pencalonan (?).

Betul atau tidak alasannya, yang pasti PMN perlu membuka mata dengan memerhati perkembangan calon muda yang lain.

Parlimen Tumpat menyaksikan pertembungan muka baru BN, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan Kamaruddin Jaafar (Pas). Dr Asyraf merupakan Presiden PKPIM selama dua penggal (1999-2001) - pertubuhan pelajar yang dicap berhaluan kiri. Beliau pernah lantang menyelar pembentukan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) - yang cenderung menyokong kerajaan.

Marah benar seorang blogger pada calon muda ini. Sila lihat blog berkenaan. Antara yang dipersoalkannya:
Di manakah tarbiyyah PKPIM yang diterima selama ini sehingga sanggup menjadi ahli tentera kufar (bersekongkol dengan penentang agama) untuk menentang kepimpinan ulama' dan pejuang-pejuang Islam?
Dr Asyraf merupakan anak kepada bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Datuk Dusuki Ahmad. Pelajar berhaluan kiri, kemudian menyertai parti berhaluan kanan, bukanlah sesuatu yang ganjil.

Kemudian, PKR turut menghantar beberapa muka baru dari kalangan bekas aktivis pelajar seperti Khairul Anuar Ahmad Zainudin di Parlimen Pekan, Amirudin Shari di DUN Batu Caves dan Ginie Lim Siew Lin di DUN Machap, dan mungkin beberapa yang lain seperti Nik Nazmi Nik Ahmad (DUN Seri Setia).

Mereka ini perlahan-lahan menyertai perebutan kerusi, setidaknya 3 tahun berkhidmat dalam parti.

PMN harus membuang sikap terburu-buru dan membuang tabiat gemar menyondol. Parti itu sendiri belum siap dan masih bergantung pada Pas, tetapi sudah mahu mencipta populariti dengan begitu lekas.

Rabu, Februari 20, 2008

I'm not Jason King

Gembar-gembur akademikus mahu bergelumang dalam kancah politik nasional, boleh dikatakan kerap kali berlaku menjelang musim pilihan raya.

Misalnya, pada 2004, Timbalan Naib Canselor HEP, Prof Dato' Dr Abdullah Al-Hadi (kini jawatan sama di UPSI) disebut-sebut bakal bertanding di Parlimen Putrajaya. Kita tidak tahu kenapa nama beliau disebut-sebut, tetapi dikatakan ketika itu kontrak NC dan TNC untuk penggal itu hampir tamat.

Pada pilihan raya kali ini, seorang lagi akademikus popular telah dikaitkan dalam kancah politik. Malah, kali ini beliau sendiri mengaku, mungkin, jika terpilih.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Seri Dr Ibrahim Abu Shah berkata, beliau sanggup melepaskan jawatannya itu (yang hampir tamat kontrak) sekiranya disenaraikan sebagai calon pilihan raya.

Sumber (Berita Harian) turut menyebut spekulasi berhubung pengganti Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Muhamad Ali Rustam yang bertanding di kerusi parlimen - antaranya termasuk akademikus ini.

Untuk itu, beliau kemungkinan akan bertanding di DUN Serkam (di Parlimen Jasin) - tetapi bukan sebagai calon Parti Mahasiswa Negara.

Bagaimanapun, yang terbaru, agensi Bernama melaporkan Ali Rustam akan kekal bertanding di DUN Bukit Baru, manakala muka baru yang dilaporkan akan bertanding di DUN Serkam ialah Ghazale Muhamad.

Sila rujuk di laman agensi berkenaan.

Isnin, Februari 18, 2008

Better to be known as a sinner than a....

Dulu sebelum 31 Oktober 2003, mereka berlumba-lumba menyokong pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kini dipinta tukar. Antara alasannya ialah, jati diri Melayu akan terhakis. Isu ini sudah kerap didebatkan. Pada masa yang sama, permintaan daripada kaum lain berhubung isu ini juga, kini dipandang berat. Sila lihat ini.

Apa ini?

Khamis, Februari 14, 2008

Dumb and Dumber of the Dumbest

Dikatakan, Parti Mahasiswa Negara (PMN) digagaskan atas dasar mengekang kewujudan 'badut politik' di kalangan parti pemerintah dan pembangkang. Dasar ini begitu ideal memandangkan hari-hari kita diajak bermentaliti kelas pertama.

Ada beberapa simptom 'badut politik' yang ditunjukkan, khususnya menjelang pilihan raya.

Pertama, pembangunan infrastruktur amat giat dijalankan, sangat ketara apabila juring-juring dengan hari pembuangan undi. Penurapan jalan tar 24 jam, pembinaan jambatan dan jejantas, penaik tarafan bangunan dan banyak lagi.

Ada tempoh lima tahun untuk membangun infrastruktur rakyat, kenapa sangat giat dilaksanakan pada hujung-hujung tempoh tersebut? Sama halnya dengan rawatan kesihatan percuma di kampung-kampung - orang kampung hanya sakit pada waktu pilihan rayakah? Lawatan wakil rakyat ke rumah-rumah hanya diizinkan orang kampung pada waktu pilihan raya sahajakah?

Kedua, kita kerap dicanang dengan perlunya perubahan, pengilmuan, pendemokrasian dan sebagainya. Tetapi apabila politikus ini berhadapan dengan rakyat, peluang diisi dengan mencaci-maki parti lawan, indoktrinasi parti sendiri - tidak pun cuba melaksanakan apa yang dicanang tadi.

Itulah yang sebahagian rakyat tidak faham makna politik - dibutakan dengan indoktrinasi tadi. Cuba lihat ceramah-ceramah politik yang ada.

Buat masa ini, sebahagian kita berjaya 'dibadutkan' mereka - yang ingin memenuhi kepentingan politik (terpengaruh dengan kelakuan pertama dan kedua). Tetapi, sebahagian lagi memandang mereka sebagai badut! --- Dan bahagian ini semakin ramai jumlahnya kerana faktor pendidikan, globalisasi dan pengembangan budaya.

Orang akan kerap berkata: "Eh, jalan baru nak turap bila dekat pilihan raya?" (Dilema juga buat parti politik sebab kita mudah lupa dengan usaha pada tempoh terdahulu)

Politikus, jika berterusan dengan gaya sebegini, apa ertinya ajakan ke arah mentaliti kelas pertama atau pengilmuan?

Selasa, Februari 12, 2008

Men are born ignorant, not stupid!

Hati-hati dengan kesilapan kecil yang boleh menyebabkan semua orang menuding jari pada kita. Dalam pilihan raya umum, kesilapan kecil boleh mengundang padah - misalnya kalah tanpa bertanding.

Dalam pilihan raya umum 2004, ada empat pencalonan ditolak. Pertama, BN kehilangan kerusi di DUN Senggarang akibat nama pencadang dan penyokong untuk calon berkenaan tidak ada dalam Bahagian Pilihan Raya. Maruah BN tercalar kerana akhirnya Johor 'terbocor' akibat kesilapan ini.

Tiga yang lain di DUN Subang Jaya (DAP), Penawar (PAS) dan Parlimen Pengerang (PAS). Calon DAP dan PAS itu gagal menghantar penyata perbelanjaan pilihan raya.

Di DUN Subang Jaya, Lee Hwa Beng (BN) menang tanpa bertanding. Pada 1999, beliau mendapat undi sebanyak 15,701 berbanding Ong Ing Siong sebanyak 8,806 undi (tidak sampai dua pertiga majoriti). Sama ada tersilap atau sengaja, DAP telah memberi laluan mudah buat BN pada 2004 di kawasan yang majoriti penduduknya orang Cina.

PAS di DUN Penawar dan Parlimen Pengerang hilang kelayakan bertanding di kedua-dua kawasan sekali gus, kerana kesilapan pasukan Fikri Sudari (calon PAS) - tidak menghantar penyata.

Kalau disengajakan sebab bertembung dengan Azalina Othman (BN-Pengerang) - calon Pas di Parlimen Kota Tinggi, Abu Bakar Sakak sepatutnya akan berbuat perkara yang sama. Calon yang bertembung dengan Syed Hamid Albar itu, telah menarik diri dan hilang wang deposit.

Pilihan raya kali ini, jika masih ada kesilapan teknikal yang sama, ini bermakna negara kita banyak melahirkan 'badut politik' (meminjam istilah Parti Mahasiswa Negara).

Khamis, Februari 07, 2008

Hey Joe!

Malaysia milik semua kaum, kata Perdana Menteri.

Kalaulah kenyataan itu sejujurnya bermaksud ke arah gagasan 'bangsa Malaysia', maka ada satu hal berhubung siaran iklan di televisyen perlu diberi perhatian.

Kalau diperhatikan, iklan untuk rancangan televisyen berbahasa Cina juga dalam bahasa Cina. Kalau rancangan Inggeris, iklannya turut berbahasa Inggeris. Tetapi yang memusykilkan ialah, kenapa masih terdapat sebahagian iklan yang bukan dalam bahasa Melayu itu tiada terjemahan?

Adakah pihak penyiar masih mempunyai tanggapan bahawa rancangan berbahasa Cina hanya untuk orang Cina - bukan untuk semua? Kalau benar begitu, mereka sedang melakukan satu segregasi halus.

Saya ketika ini juga sedang menonton rancangan berbahasa Cina, 'A Chinese Tall Story' dan begitu terkilan apabila ada iklannya tidak diterjemah untuk ke sekian kalinya - menyebabkan kita boleh menganggap pihak penyiar tidak faham dengan erti 'bangsa Malaysia' itu.

Televisyen juga milik semua kaum. Drama Melayu bukan untuk orang Melayu sahaja. Begitu juga dengan rancangan lain yang bukan berbahasa Melayu.

Sabtu, Februari 02, 2008

Hey Jude, don't make it bad...

Jika saya seorang politikus dan ditanyakan oleh media: "Bertanding pilihan raya? Perasaan Datuk jika tidak dipilih?" ---- Apa yang harus dijawab?

Perdana Menteri telah memerangkap anak-anak buahnya apabila membuat kenyataan, beliau tidak akan terpengaruh dengan mana-mana kenyataan politikus berhubung pencalonan pilihan raya.

Katanya dalam Utusan Malaysia semalam, "‘Kriteria yang saya tetapkan adalah lebih baik daripada apa yang dikatakan oleh menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri atau pemimpin-pemimpin lain."

Banyak media belakangan ini melaporkan kenyataan politikus berhubung desas-desus pencalonan, misalnya, berasa tidak kisah jika tidak dicalonkan, akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan - malah ada yang menyatakan kesediaan untuk bertanding lagi untuk penggal yang kesekian kalinya.

Kita tidak pasti apa perasaan politikus terbabit setelah mendengar kenyataan Perdana Menteri itu. Secara peribadi, saya akui ia agak melucukan. Bagaimanapun, selepas kenyataan itu, dijangkakan tidak ramai politikus BN yang berani memandai-mandai bercakap soal pencalonan diri.

Sekali lagi, jika ditemubual wartawan, apa yang perlu dijawab kalau bukan seperti ini?