Isnin, Ogos 25, 2008

Imam dipolitikkan - mana satu yang betul?

Ustaz Ramlang Porigi, nama beliau tiba-tiba melonjak. Barangkali, sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan Anwar Ibrahim, boleh menempa nama popular dengan cukup mudah - termasuklah imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful ini.

Laporan terbaru mengenai beliau, saya petik dari mStar Online:

Beliau menjadi kontroversi apabila timbulnya risalah edaran yang mempertikaikannya sebagai ahli Pemuda Umno dengan nombor keahlian 03405843 disebarkan dengan meluas ketika ini.

Risalah itu menyebut beliau merupakan ahli Umno Cawangan Seri Macang dalam Bahagian Bukit Mertajam.

Peti undi Ramlang ialah Penanti dalam bahagian Permatang Pauh.

Kandungan risalah itu menyebut: "Akhirnya tembelang orang yang bernama Ramlang Porigi, yang dikatakan imam yang menjadi saksi sumpah mubahalah Saiful terdedah juga.

"Beliau adalah ahli Pemuda Umno Cawangan Seri Machang dalam Bahagian Bukit Mertajam dengan kod keahlian 03405843.

Ini yang menyebabkan beliau mula diragui apabila sudi menjadi saksi untuk mubahalah Saiful. Dan apakah yang menyebabkan imam ini begitu senang berkempen bersama PKR? - seperti yang dilaporkan oleh agensi berita berkenaan:
Dilihat sebagai satu lagi kejutan kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, imam yang menjadi saksi sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 15 Ogos lalu, Ustaz Ramlang Porigi muncul pada majlis solat di Masjid Perda di sini bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ceramah yang diadakan di masjid itu turut dihadiri oleh Anwar dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am PAS.

Di masjid itu, Ramlang menegaskan bahawa beliau telah diarahkan supaya menjadi saksi upacara bersumpah itu.

Selain di Masjid Perda, beliau juga menjelaskan pendiriannya di Masjid Timah Kg Belah 2, Seberang Jaya dan diakhiri dengan ceramah di Padang Ibu, Penanti.

Dalam kenyataan di hadapan kira-kira 2,000 penyokong, Pakatan Rakyat Ustaz Ramlang berkata, " pada hari itu saya... saya diarahkan oleh orang atasan saya untuk menjadi saksi sumpah Saiful Bukhari, saya antara empat orang imam yang diarahkan untuk menjadi saksi."

Apa sebenarnya ini? Mulanya mengaku ahli Umno, kemudian bertindak berkempen untuk Anwar. Maka terbit persoalan di sini,:

1. Adakah imam berkenaan benar-benar merasakan perbuatannya menjadi saksi mubahalah itu satu perlakuan yang salah? Maka dengan itu, beliau berani bertukar tindakan?

2. Mana satu yang betul? Laporan Malaysiakini semalam menyebut:
Imam itu juga meminta beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah Mohd Saiful (foto, kanan) kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.

Mengulas lanjut mengenai majlis bersumpah Mohd Saiful, Ramlang berkata, beliau bukannya menjadi saksi sumpah Saiful.

"Apabila kebetulan Saiful tersalah sebut lafaz sumpahnya, oleh kerana saya berada di situ, jadi saya tegurlah," katanya.

Oleh itu, jelasnya, beliau tidak ada sebarang kaitan dengan sumpah Saiful, yang diadakan sehari sebelum penamaan calon pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Manakala dalam ucapannya ketika bercakap di hadapan penyokong Pakatan Rakyat pula:
" pada hari itu saya... saya diarahkan oleh orang atasan saya untuk menjadi saksi sumpah Saiful Bukhari, saya antara empat orang imam yang diarahkan untuk menjadi saksi."
3. Imam ini sudah jadi mangsa politik kedua-dua pihakkah?

0 komen: