Rabu, Ogos 27, 2008

Anwar angkat sumpah esok, MP BN bagaimana?

Kenyataan Pandikar Amin Mulia tempoh hari - mana-mana yang menang kerusi Permatang Pauh akan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen pada Oktober depan - telah bertukar.

Anwar akan mengangkat sumpah sebagai anggota Parlimen yang baru, esok.

Dan rasanya, ini pertama kali Anwar ke Parlimen sebagai ahli pembangkang semenjak 1982.

(i)

Ramai teman yang menggambarkan kekecohan yang bakal timbul jika Anwar turut sama terlibat dalam perbahasan di Dewan Rakyat. Perbahasan Dewan rakyat mungkin akan menjadi topik-topik utama media - mungkin lebih hangat dilaporkan berbanding seawal Mac-April lalu.

Bagaimana kelak situasinya dalam sidang Dewan Rakyat? Kebanyakan Ahli Parlimen BN saat ini pernah dipimpin Anwar sekitar 1993 hingga 1998 dulu, ketika beliau menjawat TPM. Tambah lagi, kepetahan vokal Anwar tiada yang menyangkal. Adakah ini akan mempengaruhi sama kekuatan debat Ahli Parlimen BN?

(ii)

Orang bercakap tentang hal yang lebih besar - iaitu bukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang, tetapi sebagai bakal Perdana Menteri. Malah, dalam ucapan-ucapannya kebelakangan ini, Anwar semacam tidak bercakap atas kapasiti pembangkang - tetapi banyak menuturkan agenda-agenda kerajaan (bukan BN).

Tetapi kes liwat beliau masih belum dibicarakan, dan ini juga haruslah diambil berat!

Nasib Anwar masih tidak diketahui, disabit hukuman atau terlepas. Kalau disabit, mungkin situasi keamanan negara jauh lebih teruk berbanding 1998-1999 dulu!

(iii)

Ini tempoh ujian kesetiaan buat Ahli Parlimen BN. Bukan tidak ada tawaran lompat parti. Bahkan sebelum ini pun sudah ada laporan betapa kelompok ini bertemu dengan bomoh untuk mendapatkan jawapan tentang masa depan!

Ada beberapa hal yang perlu dilihat berhubung soal kesetiaan mereka:

1. Ada yang menjangka Abdullah Ahmad Badawi akan mula dicabar jawatan Presiden Umno dan letak jawatan PM segera.

2. Mana yang lebih menjanjikan kesenangan - terus duduk dalam BN atau lompat?

3. Anwar memiliki mandat yang lebih kuat untuk meyakinkan MP supaya lompat parti. Kalau sebelum ini, menjadi MP pun belum dibuktikan, maka bermula esok, kekuatan Anwar mulai bertambah.

4. Sejauh mana pakatan Abdullah-Najib mampu untuk 'menjaga hati' mereka.

0 komen: