Selasa, April 15, 2008

Politik kasih sayang - Dr Asyraf

Parlimen Tumpat menyaksikan pertembungan dua calon berlainan generasi dalam pilihan raya tempoh hari. BN menampilkan calon muda, Dr Asyraf Wajdi Dusuki (27,337 undi), tewas kepada calon Pas, Dato' Hj Kamaruddin Jaafar (36,714 undi).

Dr Asyraf merupakan bekas Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 1999-2001, sebuah pertubuhan pelajar yang dilabel berhaluan kiri (dalam politik kampus). Latar belakang beliau boleh dibaca di sini.

Semalam saya bertemu beliau di ibu kota dan sempat bertanyakan beberapa soalan:

Penyertaan Dr dalam Umno mendapat kritikan daripada kelompok pelajar (dan bekas pelajar) berhaluan kiri, hingga ada yang menganggap Dr sebagai petualang kerana lari daripada haluan perjuangan. Komen Dr?

Mahasiswa jangan terikat dengan mana-mana parti. Maksudnya, kita tidak terikat dengan belenggu partisan. Mahasiswa kena objektif, berjuang atas dasar kebenaran dan keadilan. Yang betul, kita kata betul. Yang salah , kita kata salah. Itu konsep Islam pun. Saya selalu sebut, jangan kerana kebencian kita pada sesuatu kaum, kita tak berlaku adil.

Sehingga hari ini saya masih pegang pada prinsip itu. Kalau tak betul, saya kata tak betul. Tapi kalau kritik, kita kritik secara hikmah, bijaksana, secara ilmiah. Tapi kalau terikat dengan cara partisan, jadi lain.

Maksudnya?

Cara parti ini, kalau betul ke salah, kita sokong parti. Kita macam taksub, assabiyah. Assabiyah bukan soal perjuangan bangsa. Orang kata UMNO assabiyah, kadang-kadang Pas pun lebih assabiyah daripada UMNO.

Assabiyah ini, bila seorang sahabat tanya Rasulullah, apa dia assabiyah - apabila kamu tolong saudara kamu dalam perbuatan zalim. Itulah assabiyah. Dia buat betul kata betul, dia buat salah pun kata betul.

Ketika dalam PKPIM, Dr boleh dikatakan pemimpin pelajar yang prolifik, kerap menulis. Kadangkala tulisan Dr dilihat lantang mengkritik. Sehingga hari ini, Dr masih dengan pendirian seperti itu?

Saya tetap bawa walaupun bukan pelajar. Macam saya kata tadi, yang benar kita kata benar, yang salah tetap salah. Tiada perubahan pun. Lihat artikel atau komen-komen saya di website saya. Cuma dulu platform saya di PKPIM, hari ini saya proUMNO.

Generasi muda perlu mempelopori idea politik baru yang bebas daripada elemen taksub, fanatik dan pemikiran yang melampau. Kita boleh bersuara berasaskan ilmu. Yang saya bawa, politik dakwah, politik kasih sayang.

Kalau kita bersikap dendam dan benci, selama-lamanya orang Islam dan Melayu tidak akan bersatu. Kita cuma berbeza parti, bukan berbeza akidah.

  • Untuk mengetahui lanjut perjalanan politik Dr Asyraf, khususnya penyertaan beliau dalam UMNO, layari laman blog beliau.
  • Laman peribadi beliau boleh dilawati di AsyrafWajdi.com
  • Untuk menonton klip video ceramah kempen pilihan raya beliau, klik di sini (penjelasan beliau berkenaan politik kasih sayang).

3 komen:

nokia,connecting people berkata...

anak muda=anak muda perlu diajar bagaimana hendak berpolitik kasih sayang...nanti ada pula yg tersalah tafsir...

harap Dr Asyraf dapat berkongsi ilmu itu...

Si Putih dengan Menantunya berkata...

Saya setuju. Kata orang, dalam politik ni kita cuma gaduh suami isteri. Lepas tu berbaik2 semula.

Ahmad Jawhi berkata...

Kita cadangkan Saudara Dr. Asyraf buat satu dialog tentang politik orang muda.. Amacam? Baru kita boleh tengok jalan mana yang boleh kita pilih... InsyaAllah...